Sabtu, 9 Mei 2009

Cintakan Sunnah Yang Tak Cintakan Sunnah..


Bismillahirrahmanirrahim..

Seperti biasa setiap hari saya akan melayari laman web kegemaran di antaranya ialah www.al-fikrah.net. Saya begitu tertarik kepada satu puisi yang terdapat di situ oleh Mrf studio. Mari bersama kita menghayatinya. Puisi-puisinya yang lain boleh didapati pada alamat berikut . Puisi Hamba.

Hari ini kau boleh melihat orang yang cintakan sunnah yang tidak cintakan sunnah

kau melihat
orang cinta berhimpun untuk usrah tapi tak cintakan solat jamaah tak bersusah payah ke masjid Allah sedang sahabat ke masjid walau dipapah

kau melihat
orang cinta berhimpun membaca Yasin tapi tak cintakan khatamkan Quran al Karim ayat hanya tergantung di dinding bangunan bagaimana mampu jadi panduan kehidupan?

kau melihat orang cintakan hijab dan tudung tapi terdedah lengan dan bentuk badan 'aurat' ditutup belum menutup pandangan sang lelaki gatal bermata syaitan

kau melihat orang cintakan kebaikan tapi masih Ghibah keburukan sangka buruk berpanjangan hati kotor tak suka dibersihkan

kau melihat orang cintakan dakwah nyanyian malah hafal lirik cukup mudah dan ringan zikir ma'thur dan doa harian tak pun amalkan masuk tandas pun dengan kaki kanan

kau melihat orang cintakan sunnah baca hadis sahih sahaja tapi hidup masih jauh dari sunnah Nabi kita fikir risau Nabi langsung tak kelihatan yang nampak hanya kesalahan dan bidaah sakan kau melihat hanya pada orang cuba kau lihat pada dirimu sendiri

IBNMUKHTAR
27 April 2009

Khamis, 7 Mei 2009

Pengenalan Takhrij Hadith




Bismillahirrahmanirrahim, di sini ku letakkan sedikit pengenalan tentang takhrij hadith daripada projek ilmiah saya dahulu sebagai respon kepada pembaca yang ingin mengetahui tentang tentang takhrij hadith. Semoga bermanfaat.

PENGENALAN TAKHRIJ HADITH

Pendahuluan
Takhrij hadith sebagaimana maklum merupakan perkara yang penting bagi setiap penggunaan hadith Nabi yang mulia.Di dalam melangkah lebih jauh lagi bagi membincangkan aplikasi takhrij hadith, elok rasanya pengkaji memulakan dengan memperkenalkan tentang takhrij hadith serta yang berkaitan dengannya agar kita dapat memahaminya secara lebih mendalam dan jelas.


Definisi Takhrij al-Hadith

Menurut bahasa: Kata takhrij adalah bentuk masdar dari kata خرج-يخرِّج-تخريجا kharraja-yukharriju-takhrijan berakar dari huruf-huruf: kha, ra, dan jim. Prof Dr. Mahmud al-Tahhan menjelaskan bahawa kata takhrij secara bahasa bermaksud:
“Kumpulan dua perkara yang saling berlawanan dalam satu masalah.”


Kata takhrij dapat diertikan dalam beberapa erti dan yang paling terkenal adalah seperti berikut:
1. Al-istinbat (mengeluarkan)
2. At-tadrib (meneliti, melatih)
3. At-tawjih (menerangkan, memperhadapkan).

Menurut istilah: Kata takhrij memiliki beberapa erti antara lain:


1. Menjelaskan hadith pada orang lain dengan menyebutkan para periwayatnya dalam sanad hadith dengan metod periwayatan yang mereka lakukan. Pengertian ini merupakan salah satu kegiatan yang telah dilakukan oleh para periwayat hadith yang menghimpun hadith ke dalam kitab hadith yang disusun oleh mereka masing-masing misalnya Imam Bukhari dengan kitab sahihnya.

2. Mengeluarkan dan meriwayatkan hadith dari beberapa kitab. Misalnya Abu Bakar al-Baihaqi (w. 458H./1066 M.) yang telah banyak mengutip hadith dari kitab sunan karya Abu Hassan al-Basri al-Saffar lalu al-Baihaqi mengemukakan sanadnya sendiri.

3. Menunjukkan asal-usul hadith dan mengemukakan sumber pengambilannya dari berbagai kitab hadith yang disusun oleh para mukharrijnya dan menisbatkannya dengan cara menyebutkan metod periwayatan dan sanadnya masing-masing.

4. Menunjukkan tempat hadith pada sumber-sumber aslinya, di dalamnya dikemukakan hadith itu secara lengkap dengan sanadnya masing-masing kemudian menjelaskan darjatnya jika diperlukan.

Kesimpulannya Ilmu takhrij bermaksud ilmu yang membahaskan usul-usul dan metodologi yang memudahkan ataupun pengetahuan terhadapnya membolehkan untuk menjejaki tempat-tempat terletaknya al-hadith, mutabaat, syawahid, sama ada terletak pada rujukan asal,menyerupai asal atau tidak asal serta mengetahui martabat al- hadith sama ada diterima atau ditolak.

Perkembangan takhrij hadith
Kegiatan takhrij hadith telah mengalami lima peringkat perkembangan iaitu:

1. Takhrij hadith yang dilakukan oleh Imam Bukhari dan Muslim dengan kitab sahih mereka dan para penyusun kitab sunan. Corak takhrij hadith yang mereka lakukan adalah dengan mengemukakan hadith kepada orang ramai dengan menyebutkan para periwayatnya dalam sanad yang telah menyampaikan hadith itu dengan metod periwayatan yang mereka tempuh.

2. Takhrij hadith yang dilakukan oleh al-Muhaddithin setelah generasi pertama misalnya Imam al-Baihaqi. Mereka mengemukakan berbagai hadith yang telah dikemukakan oleh para guru hadith atau dari berbagai kitab yang susunannya dikemukakan berdasarkan riwayatnya sendiri ataupun para gurunya dengan mengemukakan periwayat dan penyusun kitab yang dijadikan sumber pengambilan.

3. Takhrij hadith yang dilakukan oleh generasi berikutnya dengan menunjukkan asal-usul hadith dan mengemukakan sumber pengambilannya dari berbagai kitab hadith yang disusun oleh para mukharrijnya langsung sebagaimana contoh kitab Bulugh al-Maram karya Ibn Hajar al-Asqalani.

4. Takhrij hadith yang dilakukan oleh muhadditsin dengan mengemukakan hadith berdasarkan sumbernya yakni kitab-kitab hadith dengan menyertakan metod periwayatannya dan sanadnya masing-masing serta diterangkan keadaan para periwayatnya dan sanadnya masing-masing serta diterangkan keadaan para periwayatnya dan kualiti hadith nya.

5. Sama dengan pengertian takhrij hadith yang ketiga dan keempat namun mempunyai kegiatan lanjutan iaitu meneliti hadith baik dari segi sanad mahupun matan


Kitab-kitab takhrij al-hadith
Antara kitab-kitab yang masyhur ialah:
1. Husul at-Tafrij bi usul al-Takhrij oleh Abi al-Faid Ahmad bin as-Siddiq wafat pada 1380H

2. Usul at-Takhrij wa dirasah al-Asanid li Dr Mahmud Tahhan ,1978.

3. Kasf al-Litham ‘an asrar takhrij ahadith sayyid al-Anam oleh Dr ‘Abdul Maujud
Muhammad Abdul Latif ,1985

4. Turq Takhrij Hadith Rasulullah Sallallahualaihiwasallam oleh Dr Abd al-Mahdiy Abd al Qadir , 1987

5. Usul al-Takhrij wa Turuq Takhrij al-hadith oleh Dr Syakir

6. Manhaj Dirasah al-Asanid wal Hukm alaiha wa yalih dirasah fi Takhrij al-Hadith oleh Dr Walid bin Hassan meninggal pada tahun 1996.

7. Ilm Takhrij al-Ahadith: Usuluhu Taraiquhu manahajuhu oleh Dr Muhammad Mahmud Bakkar. 1417 H.

8. Takhrij al-Hadith oleh Dr Hammam Abdul Rahim Said, 1996.

9. Tabsit ilmu al-Takhrij oleh Dr Mustafa Sulaiman An-Nadawiy

10. At-Ta’siil Li Usul al-Takhrij oleh Syeikh Bakar bin Abdullah Abu Zayd, 1413H.

11. Mafatih Ulum al-hadith wa Turq Takhrijuhu oleh Muhammad Uthman al-Khasyt

12. Fann Takhrij al-Hadith oleh Dr Izzat Ali Abdul Atiah.

13. Manahaj al-Muhaddithin: Hududuha wa ghayatuha wa Masadariha Oleh Syeikh Nur ad-din ‘Itr, 2000

14. Turq Takhrij Aqwal as-Sahabah wa at-tabi’in; Takmilah Kitab Takhrij Hadith Rasulullah Sallallahualaihiwasallam oleh Dr Abd al-Mahdiy Abd al-Qadir 1417 H.


Kaedah pentakhrijan al-hadith
Sememangnya pencarian hadith (takhrij al- hadith) kepada sumber aslinya tidak mudah sebagaimana penjejakan ayat al-quran. Penjejakan ayat al-Quran cukup diperlukan sebuah kitab kamus al-Quran misalnya al-Mujam al-Mufahras li Alfaz al-Qur’an al-Karim sedangkan penjejakan terhadap hadith nabi tidak cukup hanya dengan menggunakan sebuah kamus sahaja kerana hadith nabi terhimpun dalam banyak kitab dengan metod penyusunan yang pelbagai.Oleh itu, untuk keperluan itu ulama hadith telah menyusun kitab-kitab kamus dengan kaedah yang pelbagai .


Kaedah pertama: Takhrij dengan jalan mengetahui sahabat perawi hadith.
Metod ini digunakan ketika nama sahabat tersebut disebut pada sebuah hadith yang hendak ditakhrij.Jika nama sahabat tidak disebut pada hadith dan tidak mungkin mengetahuinya dengan jalan-jalan tertentu lalu kita tetapkan langkah-langkah mentakhrijnya setelah mengetahui sahabat-perawinya. Untuk hal itu kita memerlukan tiga jenis kitab iaitu:
1. Al-Masanid
2. Al-Ma'ajim
3. Kitab-kitab al-Atraf


Kaedah kedua: Takhrij dengan jalan mengetahui lafaz pertama dan matan hadith.
Metod ini digunakan ketika kita akan memperkuat pengetahuan akan kata-kata pertama matan hadith .Untuk menggunakan metod ini kita memerlukan tiga jenis kitab penunjang yang utama antaranya:

1.Kitab-kitab yang khusus memuat hadith yang terkenal.
2. Kitab-kitab yang memuat hadith - hadith yang tersusun berdasar huruf mu'jam
(ensiklopedia)
3.Kunci-kunci dan daftar isi yang disusun oleh para ulama untuk kitab-kitab tertentu


Kaedah ketiga: Takhrij dengan jalan mengetahui kata-kata yang jarang digunakan dari sudut bahagian matan hadith.
Dalam metod ini kita memerlukan kitab penunjang iaitu kitab al-Mu'jam al-Mufahras Li Alfaz al-Hadith an-Nabawi yang akan dijelaskan berikut ini tentang kitab tersebut.

Kaedah keempat: Takhrij dengan jalan mengetahui tajuk hadith.
Apabila kita mengetahui suatu hadith maka kita dapat mencari takhrijnya melalui kitab-kitab yang disusun berdasarkan bab-bab atau maudu'at, kebanyakan orang yang menggunakan cara ini merujuk kepada kitab “Miftah Kunuz al-Sunnah”. Kitab ini dianggap sebagai daftar hadith yang disusun secara tematik, kitab ini disusun oleh salah seorang orientalis dari Holland iaitu Dr Arandjen Fensink (wafat 1939 M), kitab ini mencakupi empat belas kitab-kitab hadith utama dan masyhur

Kaedah kelima: Takhrij dengan memerhatikan keadaan matan dan sanad hadith.Maksud metod ini adalah memperhatikan hal ehwal hadith dan sifat-sifatnya yang terdapat pada matan hadith itu atau sanadnya. Lalu mencari makhraj (sumber takhrij) hadith itu dengan jalan mengetahui keadaan itu atau sifat itu pada kitab-kitab yang mengklafisikasikan semua hadith yang terdapat sifat itu pada matan atau sanad.

Kaedah keenam: Takhrij menggunakan komputer.
Metod ini merupakan carian yang paling mudah kerana semua data-data yang telah dikumpulkan di letakkan di dalam satu CD ROM program takhrij al- hadith. Di dalamnya terdapat himpunan-himpunan hadith, analisisnya, bab-bab nya, penulisnya, rujukannya, cetakannya serta kitabnya. Semua maklumat di dalamnya adalah benar.

Di antara rujukan terkini adalah seperti berikut:
1. Al-Maktabah al-Alfiyah lissunnah an-Nabawiyah
2. Maktabah al-hadith asy-Syarif wa 'Ulumihi
3. Maktabah al-Ahadithah ad-da'ifah wal maudu'ah al-mu'allalah al-gharaib

Nurul Syuhada Mohd Muzni,
Projek Ilmiah

Rabu, 6 Mei 2009

Awasi auratmu wahai muslimah..


Buat muslimah-muslimah sekalian termasuk diriku,
marilah kita menutup aurat dengan sempurna,

Supaya selamat dunia dan akhirat..
Kerna dirimu sangat berharga..
Jadilah wanita solehah kerana ia adalah sebaik-baik perhiasan dunia...
Wallahua'lam..


Selasa, 5 Mei 2009

Mantapkan aqidah kita: Bahagian-bahagian tauhid.


Bismillahirrahmanirrahim..

Hari ini kita akan membicarakan tentang aqidah yang mana ia amatlah penting buat setiap orang Islam. Baiklah kita akan mula membincangkan pembahagian Tauhid secara ringkas.

Pembahagian Tauhid dapat dibahagikan kepada 3 bahagian berikut iaitu:
1)Tauhid Rububiyah ialah mengesakan Allah Subhanahuwataala dengan perbuatannya iaitu kita mengesakan Allah Subhanahuwataala sebagai Tuhan yang mencipta, mentadbir dan berkuasa ke atas alam ini. Dia sahajalah Tuhan yang memberi rezeki, menghidup serta mematikan makhlukNya.

2)Tauhid Uluhiyah pula ialah mengesakan Allah Subhanahuwataala dengan perbuatan kita iaitu kita meyakini bahawa Allah Subhanahuwataala Tuhan yang Esa yang wajib disembah, dipuji dan diabdikan diri kepadaNya. Dialah sahaja yang wajib dihalakan doa permintaan manusia.

3)Tauhid Asma' wa al-Sifat ialah kita meyakini bahawa Allah mempunyai nama-nama yang baik serta sifat-sifat yang mulia sebagaimana yang disebut dalam al-Quran serta hadis-hadis Nabi. Keimanan yang wajib tanpa tahrif dan takwil atau takyif dan tamsil.

Wallahua'lam..

Sabtu, 2 Mei 2009

Bina Insan Guru dan Pesta Buku


Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum semua..

Terima kasih kerana sudi membaca blog saya. Di sini ingin saya ceritakan tentang Bina Insan Guru dan Pesta Buku untuk dikongsikan bersama.

BiNa InSaN GuRu

Program yang berlangsung di Pulau Pangkor telah selamat dilalui oleh diriku dan sahabat-sahabat lain. Satu pengalaman yang sukar untuk dilupakan juga dalam hidupku. HuHu.. Di sini saya catitkan perkara-perkara yang menarik sahaja. Bermula pada hari pertama...

Saya betul-betul mengantuk sesampainya di sana, memang tak tahan ah.. asyik tersengguk2 -sengguk. Bermula juga cabaran untuk tidoq dalam khemah yang agak kecil seramai 3 orang sekhemah. Teringat nikmat bilik di rumah walaupun kecil sekangkang kera.

Hari kedua...

Pada aktiviti sebelah petang, kumpulan kami kena buat aktiviti mendaki bukit. Nafas rasa cam tak cukop ja bila mendaki bukit. Ikutkan memang lemah semangat jugak tapi kerana rahmat Allah saya berjaya mendaki dengan lancar. Alhamdulillah...

Hari Ketiga..

Emm.. Abselling dan snorkelling telah dipermudahkan oleh Allah kepada saya kerana itu adalah perkara-perkara first time dalam hidup saya. Hehe. Alhamdulillah sekali lagi. Tapi apa yang menariknya pada hari itu adalah pada malamnya.. Night camp adalah antara aktiviti yang dijalankan.

Saya benar-benar bertawakkal pada Allah kerana saya bukanlah seorang yang gagah dan iman pula lemah. Kami dikehendaki berada dalam hutan di tempat yang berlainan seramai 4 orang setiap kumpulan dari pukul 9 malam hingga ke 5.30 pagi. Kumpulan saya sentiasa berusaha agar unggun api sentiasa menyala. Kami bergilir-gilir tidur. Tetapi saya memang tak boleh lelap betul bila time giliran saya. Malu nak berbaring tidur di tempat yang terbuka. Kalau ada sentri yang lalu, saya cepat-cepat bangun. Kemudian bila dengar suara anjing yang melolong-lolong, sekali lagi tak boleh nak tidur. Sebab takut api terpadam dan anjing-anjing itu datang ke kawasan kami.

Pulak dah selepas itu ada gangguan makhluk halus dekat kumpulan yang berdekatan dengan kami. Alhamdulillah saya sudah berusaha membaca ayat-ayat al-Quran sesampainya di tapak kami. Ayat-ayat al-Quran terus dialunkan sepanjang malam untuk mendapatkan kekuatan. Ranting-ranting kayu sudah hampir habis. Saya sudah penat dan panas.. Lolongan anjing terus berbunyi.

"Akak tolong kipaskan api tu, nanti anjing tu datang" Kataku sambil mengumpul ranting-ranting dan daun-daun untuk dijadikan bahan api. Memang penakut betul saya ni. erkk.. Ya la.. kalau tak menyala api tu memang kami berada dalam kegelapan lah.

Sekali lagi ku panjatkan kesyukuran kerana Allah taala sentiasa mengawasi hamba-hambaNya. Ketika sudah habis program ini, Nawal memberitahu bahawa tempat yang aku duduki itu adalah tempat yang sama dengan dia. Nawal adalah daripada kumpulan Bina Insan Guru A, saya pula Bina Insan Guru B yang dibuat sebelum kami. Katanya lagi kumpulan mereka ternampak sesuatu di atas pokok tempat kami berada. Tak ku sangka.. Alhamdulillah syukur kepada Allah di atas lindunganNya..

Hari keempat

Emm.. nak kata apa?... Sedih .. Ampunkanlah hambaMu yang tidak dapat memahamkan mereka-mereka yang masih tidak memahami agamaMu.. Semoga mereka dikurniakan hidayahMu..


Hari kelima

Balik.......


Sebenarnya dalam kem bina insan guru ini, bukanlah aktiviti-aktiviti itu yang menjadi cabaran utamaku tetapi sejauhmana saya mampu menjalankan syariat agama sebagai seorang mukmin dalam menjalankan program-program tersebut. Wallahua'lam..

Pesta Buku.

Hari yang ditunggu-tunggu oleh peminat buku.. Alhamdulillah saya dapat membeli buku-buku yang saya inginkan serta VCD dan kaset-kaset yang dijual di sana.

Dua buah buku telah berjaya saya habiskan buat masa ini Alhamdulillah sekali lagi iaitu Cinta kedua selepas Allah dan Rasul oleh Fatimah Syarha dan Epilog seorang Da'ie oleh Ustaz Abdurrahman . Bacala best sangat. Menyentuh hati, jiwa dan perasaan.. Yang paling penting buku-buku ini sangat bermanfaat untuk iman kita.. Rugi kalau tak beliiiii......

Buku Cinta kedua selepas Allah dan Rasul..

Saya sudah membelek-belek buku ini samada nak membeli atau tidak sebab tertarik kepada penulisnya. Lalu saya sarankan kepada Nawal untuk membelinya kerana dia sudah pun berkahwin dan Nawal membelinya. Bukannya apa, saya takut apabila saya baca buku tu saya hanyut pula. Jadi biarlah saya beli apabila sudah hendak berkahwin.

Sangkaan saya meleset. Nawal menceritakan betapa bestnya buku itu kepada saya dan kawan-kawan kami serta menukilkan nasihat-nasihat yang terdapat di dalamnya. Saya pun rasa terujalah untuk membacanya.. Hahhh.. memang best pun bila baca buku tuu.. Tambah-tambah part yang awal. Apa yang paling saya suka dalam buku itu adalah penekanan untuk mengejar cinta Ilahi daripada mengejar cinta manusiawi. Memang kudus betul. Buat sesapa sahaja samada yang belum ada calon, bakal berkahwin dan yang dah berkahwin semuanya sesuai untuk membacanya. Jangan lupa beli..

Epilog seorang Da'ie

Buku ini saya habiskan ketika perjalanan pulang ke kampung menaiki bas.Buku ini penuh dengan cerita yang menyentuh hati dan menyedarkan. Kecekalan imannya dalam menempuh kesusahan menyedarkan diri. Sesungguhnya tiap kesukaran ada kesenangan. Allah taala sentiasa bersama-sama kita.. Itulah iktibar yang dapat saya ambil. Belilah buku ini. Mudah-mudahan kita dapat menyedari bahawa kesabaran itu menghasilkan sesuatu yang bernilai, manis dan berharga..




Okey setakat ini dulu coretan kali ini.. Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh..........~

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails