LANGKAH-LANGKAH PENCEGAHAN JANGKITAN PENYAKIT INFLUENZA
a. Virus Influenza
* Terdapat 3 jenis virus influenza iaitu A, B dan C. Ketiga-tiga virus ini boleh menjangkiti manusia.
* Virus influenza A adalah paling berbahaya kerana boleh menjangkiti kedua-dua haiwan dan manusia.
* Virus influenza A boleh menjalani mutasi (perubahan genetik) dan menghasilkan virus influenza jenis baru yang lebih berbahaya. Ini akan mencetuskan kejadian epidemik dan pandemik influenza.
* Virus influenza tersebar melalui titisan cecair dari mulut dan hidung ketika bercakap, bersin atau batuk. Virus ini seterusnya masuk ke dalam badan melalui saluran pernafasan.
b. Adakah influenza sama dengan demam selesema?
TIDAK
Walaupun kedua-duanya mempunyai gejala yang hampir sama tetapi influenza menyebabkan gejala dan tanda-tanda yang lebih teruk serta boleh menyebabkan komplikasi yang mengancam nyawa.
Perbandingan antara influenza dan demam selesema ditunjukkan dalam jadual berikut:
Tanda dan Gejala | Influenza (Flu) | Demam Selesema
(Common cold) |
Demam | Tinggi. Biasanya melebihi 38˚C | Kurang dari 38˚C |
Letih lesu | Teruk dan boleh berlarutan hingga 2 ke 3 minggu | Sangat ringan |
Sakit otot / sakit sendi | Sederhana ke teruk | Ringan |
Batuk | Batuk teruk, tidak berkahak | Tiada / Ringan pada peringkat awal |
Hidung berair/ berhingus | Tiada / Ringan | Teruk |
Bersin | Kerap | Tidak kerap |
Sakit tekak | Sederhana ke teruk | Tiada / Ringan |
Sakit kepala | Sederhana ke teruk | Ringan |
Penyebab | Virus influenza A, B atau C | Adenovirus, Rhinovirus, Parainfluenza virus, Corona virus dan lain-lai |
c. Apakah rawatan bagi influenza?
Tiada rawatan khusus untuk influenza. Rawatan yang diberikan adalah rawatan simptomatik sahaja.
Anda dinasihatkan untuk mengambil tindakan-tindakan berikut:
o Mengambil ubat demam seperti paracetamol untuk melegakan demam dan sakit kepala;
o Minum air atau minuman suam bagi melegakan sakit tekak dan batuk;
o Amalkan pemakanan seimbang dan tidur atau rehat yang secukupnya;
o Hindarkan stres kerana ini akan melemahkan sistem pertahanan badan anda; dan
o Jika tanda dan gejala berlarutan atau tambah teruk dapatkan rawatan di klinik atau hospital terdekat
d. Bagaimana jangkitan influenza boleh dielakkan dari merebak?
i. Jika anda bersin atau batuk:
• Tutup mulut dan hidung dengan tisu atau sapu tangan;
• Buang tisu yang digunakan ke dalam tong sampah;
• Jangan berkongsi sapu tangan; dan
• Basuh tangan dengan sabun selepas batuk dan bersin. Juga basuh tangan dengan bersih setelah menyentuh bahan mentah, permukaan tercemar, muka, hidung, telinga dan lain-lain anggota badan
ii. Pakai penutup mulut dan hidung (mask) untuk mengelakkan jangkitan influenza khususnya jika anda mengalami selsema.
iii. Elakkan dari berada di tempat-tempat awam jika anda dijangkiti influenza.
e. Apakah perbezaan antara ubat antiviral dan vaksin influenza?
1. Ubat antiviral adalah ubat bagi merawat pesakit yang dijangkiti virus. Pemberian ubat antiviral pada masa yang betul akan dapat mengurangkan impak gejala dan tanda penyakit serta mengurangkan kemungkinan komplikasi penyakit.
2. Vaksin diberi sebagai langkah pencegahan. Vaksinasi menggunakan vaksin influenza yang ada di pasaran hanya untuk memberi perlindungan kepada individu dari mendapat jangkitan dan bukan untuk tujuan rawatan.
3. Kementerian Kesihatan menyarankan mereka yang akan melawat negara yang sedang mengalami musim sejuk dan mereka yang akan mengerjakan haji dan umrah di Mekah agar mendapatkan suntikan vaksin influenza. Suntikan boleh diperolehi dari klinik atau hospital swasta tertentu.
4. Bagi jangkitan Influenza A (H1N1) suntikan vaksin influenza yang sedia ada dalam pasaran tidak diketahui samada member perlindungan dari jangkitan ini dan penggunaannya tertakluk kepada pilihan masing-masing seperti disarankan di perenggan iii. di atas.
Nasihat khusus Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai wabak Influenza A (H1N1):
a. Orang awam yang mengalami tanda-tanda jangkitan terutamanya demam, batuk, selsema dan sakit tekak dinasihatkan untuk menangguhkan lawatan antarabangsa.
b. Orang awam yang mengalami tanda-tanda berkenaan semasa melakukan lawatan antarabangsa dinasihatkan untuk mendapat rawatan.
c. Tiada risiko mendapat jangkitan Influenza A(H1N1) sekiranya daging atau produk babi disediakan atau dimasak secara betul.
d. Amalkan kebersihan diri termasuk membasuh tangan dengan kerap menggunakan sabun dan air, terutamanya selepas batuk.
e. Sekiranya mengalami gejala demam selsema, sila dapatkan rawatan perubatan dengan segera.
[diadaptasikan dari ‘Influenza; Apa Yang Anda Perlu Tahu’, PI.4 (versi 1), 12/2006 (BM200,000), risalah terbitan Kementerian Kesihatan Malaysia dan boleh di layari di laman sesawang (web): http://dph.gov.my/survelans/ atau http://www.infosihat.gov.my
MINISTRY OF HEALTH