Memaparkan catatan dengan label ^Dunia Buku^. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ^Dunia Buku^. Papar semua catatan

Rabu, 16 September 2009

Buku Best.. (Ensiklopedia Fiqih Wanita)


Judul: Ensikolpedi Fiqih Wanita
Penulis: Abu Malik Kamal bin as-Sayyid Salim.
Terjemahan: Beni Sarbeni
Penerbit: Pustaka Ibnu Katsir

Buku best pada kali ini seperti yang tertera di atas. Ia disajikan secara mudah, lengkap, disertai dalil-dalil al-Quran dan as-Sunnah yang sahih dengan takhrij hadithnya sekali..

Komentar ulama mengenai buku ini:



Abu 'Abdillah Mustafa bin al-'Adawi: Saya mendapatinya sebagai kitab yang penuh dengan manfaat dan mudah (difahami). Kitab ini menggabungkan antara kematangan isi pembahasannya, kebersihan dan keselamatan pembahasannta dari berbagai kerancuan serta mudah difahami, ini semua adalah wujud nyata daripada pertolongan Allah 'Azzawajalla.

*Buku ini saya beli ketika pesta buku di PWTC tahun ini. Ia mengandungi 2 jilid yang meliputi fiqih kehidupan harian kita seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya. Sila la beli buku ini, siap ada dalil lagi untuk dirujuk. Alhamdulillah meyakinkan dan bertambah lagi rujukan kefahaman Islam kita untuk meningkatkan diri ke arah wanita solehah. Insya Allah... Jangan lupa beli no.. :)

Ahad, 9 Ogos 2009

Manfaat ujian merasakan nikmat Allah..



Bismillahirrahmanirrahim.. Sesungguhnya hidup kita ini memang tidak lari daripada masalah ataupun ujian. Namun ujian itu mempunyai pelbagai manfaat. Di antaranya ialah merasakan nikmat Allah. Marilah kita hayati kata-kata seorang ulama' yang saya petik daripada buku buku
Alibtila' tathhirun wa ni'matun min rabbil ardhi was sama'i (Hani Saad Ghunaim) terjemahan: Seni menikmati ujian dengan sedikit pengubahsuaian.

Sahabat-sahabat........

Kita tidak akan merasakan nikmatnya kemenangan kecuali jika kita pernah mengalami pahitnya kekalahan. Kita tidak dapat merasakan kenikmatan mata kecuali jika kedua mata kita pernah sakit. Kita tidak dapat merasakan nikmatnya kaki kecuali jika ia telah dipotong. Serta kita tidak dapat merasakan nikmatnya tangan kecuali jika telah lumpuh.

Maka gunakanlah nikmat-nikmat Allah yang diberikan kepada kita kepada kebaikan dan jangan gunakan untuk bermaksiat kepadaNya. Jenguklah orang-orang yang tertimpa ujian supaya kita boleh menghibur mereka, memberikan sokongan moral dan menyuruh mereka bersabar atau kita boleh belajar bersabar dengan mereka sebelum kita diuji, kita berdoa untuk kebaikan diri kita serta kita boleh bersyukur kepada Rabb kita yang telah memberikan keselamatan dari apa-apa yang diujikan kepada mereka.

Sebab, Rasulullah sallallahu'alaiaahiwasallam telah memberikan nasihat kepada kita, jika salah seorang dari kita melihat orang yang tertimpa ujian, hendaknya ia berdoa:

اَلْحَمْدُ الَّذِيْ عَاْفَاْنِيْ مِمَّاْ ابْتَلاَكَ بِهِ وَفَضَّلَنِيْ عَلـٰى كَثِيْر مِمَّنْ خَلَقَ تَفْضِيْلاً, لم يصبه ذلك البلاء

maksudnya:" Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan diriku dari apa-apa yang diujikan kepadamu dan yang telah melebihkan diriku dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang Dia ciptakan," nescaya ujian tersebut tidak akan menimpa dirinya. (Hassan, At-Tirmidzi (3432), Sahihul Jami' (6248)

Maka pada waktu ini dia telah melaksanakan rasa syukur terhadap nikmat tersebut.

Sabtu, 2 Mei 2009

Bina Insan Guru dan Pesta Buku


Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum semua..

Terima kasih kerana sudi membaca blog saya. Di sini ingin saya ceritakan tentang Bina Insan Guru dan Pesta Buku untuk dikongsikan bersama.

BiNa InSaN GuRu

Program yang berlangsung di Pulau Pangkor telah selamat dilalui oleh diriku dan sahabat-sahabat lain. Satu pengalaman yang sukar untuk dilupakan juga dalam hidupku. HuHu.. Di sini saya catitkan perkara-perkara yang menarik sahaja. Bermula pada hari pertama...

Saya betul-betul mengantuk sesampainya di sana, memang tak tahan ah.. asyik tersengguk2 -sengguk. Bermula juga cabaran untuk tidoq dalam khemah yang agak kecil seramai 3 orang sekhemah. Teringat nikmat bilik di rumah walaupun kecil sekangkang kera.

Hari kedua...

Pada aktiviti sebelah petang, kumpulan kami kena buat aktiviti mendaki bukit. Nafas rasa cam tak cukop ja bila mendaki bukit. Ikutkan memang lemah semangat jugak tapi kerana rahmat Allah saya berjaya mendaki dengan lancar. Alhamdulillah...

Hari Ketiga..

Emm.. Abselling dan snorkelling telah dipermudahkan oleh Allah kepada saya kerana itu adalah perkara-perkara first time dalam hidup saya. Hehe. Alhamdulillah sekali lagi. Tapi apa yang menariknya pada hari itu adalah pada malamnya.. Night camp adalah antara aktiviti yang dijalankan.

Saya benar-benar bertawakkal pada Allah kerana saya bukanlah seorang yang gagah dan iman pula lemah. Kami dikehendaki berada dalam hutan di tempat yang berlainan seramai 4 orang setiap kumpulan dari pukul 9 malam hingga ke 5.30 pagi. Kumpulan saya sentiasa berusaha agar unggun api sentiasa menyala. Kami bergilir-gilir tidur. Tetapi saya memang tak boleh lelap betul bila time giliran saya. Malu nak berbaring tidur di tempat yang terbuka. Kalau ada sentri yang lalu, saya cepat-cepat bangun. Kemudian bila dengar suara anjing yang melolong-lolong, sekali lagi tak boleh nak tidur. Sebab takut api terpadam dan anjing-anjing itu datang ke kawasan kami.

Pulak dah selepas itu ada gangguan makhluk halus dekat kumpulan yang berdekatan dengan kami. Alhamdulillah saya sudah berusaha membaca ayat-ayat al-Quran sesampainya di tapak kami. Ayat-ayat al-Quran terus dialunkan sepanjang malam untuk mendapatkan kekuatan. Ranting-ranting kayu sudah hampir habis. Saya sudah penat dan panas.. Lolongan anjing terus berbunyi.

"Akak tolong kipaskan api tu, nanti anjing tu datang" Kataku sambil mengumpul ranting-ranting dan daun-daun untuk dijadikan bahan api. Memang penakut betul saya ni. erkk.. Ya la.. kalau tak menyala api tu memang kami berada dalam kegelapan lah.

Sekali lagi ku panjatkan kesyukuran kerana Allah taala sentiasa mengawasi hamba-hambaNya. Ketika sudah habis program ini, Nawal memberitahu bahawa tempat yang aku duduki itu adalah tempat yang sama dengan dia. Nawal adalah daripada kumpulan Bina Insan Guru A, saya pula Bina Insan Guru B yang dibuat sebelum kami. Katanya lagi kumpulan mereka ternampak sesuatu di atas pokok tempat kami berada. Tak ku sangka.. Alhamdulillah syukur kepada Allah di atas lindunganNya..

Hari keempat

Emm.. nak kata apa?... Sedih .. Ampunkanlah hambaMu yang tidak dapat memahamkan mereka-mereka yang masih tidak memahami agamaMu.. Semoga mereka dikurniakan hidayahMu..


Hari kelima

Balik.......


Sebenarnya dalam kem bina insan guru ini, bukanlah aktiviti-aktiviti itu yang menjadi cabaran utamaku tetapi sejauhmana saya mampu menjalankan syariat agama sebagai seorang mukmin dalam menjalankan program-program tersebut. Wallahua'lam..

Pesta Buku.

Hari yang ditunggu-tunggu oleh peminat buku.. Alhamdulillah saya dapat membeli buku-buku yang saya inginkan serta VCD dan kaset-kaset yang dijual di sana.

Dua buah buku telah berjaya saya habiskan buat masa ini Alhamdulillah sekali lagi iaitu Cinta kedua selepas Allah dan Rasul oleh Fatimah Syarha dan Epilog seorang Da'ie oleh Ustaz Abdurrahman . Bacala best sangat. Menyentuh hati, jiwa dan perasaan.. Yang paling penting buku-buku ini sangat bermanfaat untuk iman kita.. Rugi kalau tak beliiiii......

Buku Cinta kedua selepas Allah dan Rasul..

Saya sudah membelek-belek buku ini samada nak membeli atau tidak sebab tertarik kepada penulisnya. Lalu saya sarankan kepada Nawal untuk membelinya kerana dia sudah pun berkahwin dan Nawal membelinya. Bukannya apa, saya takut apabila saya baca buku tu saya hanyut pula. Jadi biarlah saya beli apabila sudah hendak berkahwin.

Sangkaan saya meleset. Nawal menceritakan betapa bestnya buku itu kepada saya dan kawan-kawan kami serta menukilkan nasihat-nasihat yang terdapat di dalamnya. Saya pun rasa terujalah untuk membacanya.. Hahhh.. memang best pun bila baca buku tuu.. Tambah-tambah part yang awal. Apa yang paling saya suka dalam buku itu adalah penekanan untuk mengejar cinta Ilahi daripada mengejar cinta manusiawi. Memang kudus betul. Buat sesapa sahaja samada yang belum ada calon, bakal berkahwin dan yang dah berkahwin semuanya sesuai untuk membacanya. Jangan lupa beli..

Epilog seorang Da'ie

Buku ini saya habiskan ketika perjalanan pulang ke kampung menaiki bas.Buku ini penuh dengan cerita yang menyentuh hati dan menyedarkan. Kecekalan imannya dalam menempuh kesusahan menyedarkan diri. Sesungguhnya tiap kesukaran ada kesenangan. Allah taala sentiasa bersama-sama kita.. Itulah iktibar yang dapat saya ambil. Belilah buku ini. Mudah-mudahan kita dapat menyedari bahawa kesabaran itu menghasilkan sesuatu yang bernilai, manis dan berharga..




Okey setakat ini dulu coretan kali ini.. Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh..........~

Selasa, 5 Ogos 2008

Satu panduan membeli buku agama




Dalam kita menambahkan ilmu-ilmu agama dalam diri kita, kita berusaha dengan pelbagai usaha. Di antaranya adalah dengan membeli buku agama.
Di sini, saya sarankan kepada sahabat-sahabat agar dapat melihat terlebih dahulu hadith-hadith yang digunakan. Pastikan hadith yang digunakan disebut statusnya supaya kita tidak menggunakan hadith-hadith yang maudhu’ (palsu) ataupun lemah.


Jika sesuatu buku agama itu menggunakan hadith lalu disebut hukum atau status hadith tersebut, itu menunjukkan bahawa penulis begitu cermat dalam membawakan suatu hadith dan ia merupakan jalan yang selamat bagi kita dalam beramal dengan sesuatu hadith. Walaupun begitu, perlu diketahui kepada pembaca-pembaca buku bahawa hadith daripada Imam Bukhari dan Muslim tidak perlu untuk disebut hukumnya kerana sudah diiktiraf hadith-hadith dalam kitab Sahih Bukhari dan Sahih Muslim akan kesahihannya. Manakala bagi yang berkebolehan dalam mencari hukum hadith maka panduan ini boleh diabaikan.

Sesungguhnya perkara agama adalah perkara yang serius dan seharusnya sentiasa cermat dalam menerima sesuatu maklumat agar tidak tercampur dengan unsur –unsur yang tidak sepatutnya. Sekian sahaja untuk kali ini.

Ahad, 3 Ogos 2008

Buku Best (4)

Tajuk :Kekasih Allah yang Sejati
Penulis : Ibnu Qayyim al-Jauziyah
Editor : Ummu Salamah Abdullah
Penerbit: Synergy Media
Harga : RM 19.50

Cinta merupakan kehidupan, apabila cinta itu hilang dari jiwa seseorang maka dia bagaikan hidup dalam kematian. Cinta merupakan cahaya, apabila cinta itu hilang dalam hati seseorang, maka dia bagaikan hidup dalam kematian. Cinta merupakan cahaya, apabila cinta itu hilang dari hati seseorang, maka dia bagaikan berada di laut kegelapan. Cinta merupakan ubat penawar, apabila cinta itu tidak ada dalam diri seseorang, maka hatinya akan ditimpa oleh pelbagai penyakit. Cinta itu merupakan suatu nikmat, bagi yang tidak mendapatkannya maka kehidupannya akan dipenuhi dengan kegelisahan dan penderitaan. Rasa cinta hamba kepada Allah akan menghasilkan perasaan seperti rasa rindu, kesenangan dan keredhaan hanya kepada Allah Subhanahuwataala dan Rasulnya. Buku ini menghidangkan 10 sebab-sebab yang menyebabkan seseorang itu cinta kepada Allah. Di sini saya dapat ringkaskan 10 sebab-sebab itu kepada berikut:

1~ Membaca al-Quran dan bertadabbur dengannya.

2~Mendekatkan diri kepada Allah dengan amalan-amalan sunat.

3~Beristiqamah dalam berzikir kepada Allah Subhanahuwataala pada setiap keadaan baik dengan lisan, hati mahupun amal perbuatan.

4~Mengutamakan cinta kepada Allah melebihi cinta kepada diri sendiri.

5~Menyelidiki nama-nama Allah dan sifat-sifatnya dengan hati dan menyaksikanNya, mengetahuiNya dan kemudian memikirkan sedalam-dalamnya.

6~Menyaksikan kebaikan dan ehsanNya, anugerah dan nikmat yang didapatinya, zahir dan batin.

7~Kepasrahan hati sepenuhnya kepada Allah Subhanahuwataala.

8~Menyendiri pada waktu nuzul ilahi (Allah mendekat ke langit bumi) untuk bermunajat dan membaca kalamNya, kemudian merenung dan beradab ubudiyah (penghambaan di hadapannya)

9~Pergaulan yang berlandaskan cinta kepada Allah.

10~Menjauhi semua perkara yang dapat menghalang hati daripada mengingati Allah.

*+++SeLaMat MeMbAca+++*

Buku Best! (3)



Tajuk Buku : Syabab Musafir Kasih
Nama penulis: Fatimah Syarha Mohd Noordin
Penerbit : Telaga Biru Sdn. Bhd.
Harga : RM 22.90

Sebuah novel yang dihasilkan oleh seorang penulis muda dengan idea-idea yang segar dan mendidik jiwa. Mesej-mesej Islam yang dikarang mengajak kita bagaimana sebenarnya menjadi seorang muslim yang sejati. Kisah yang dibawakan adalah mengenai liku-liku kehidupan seorang pemuda Islam yang bergelar anak yatim ketika masih kecil sehinggalah menjadi se orang pemuda Islam yang begitu kuat jati diri dan dakwahnya. Saya begitu teruja apabila penulis seringkali menggunakan ayat-ayat al-Quran dalam novel ini. Novel ini bukan setakat dapat mengisi masa lapang anda tetapi juga dapat meningkatkan motivasi diri dan pemantapan iman kita. Di bawah ini saya sertakan bersama salah satu daripada puisi-puisinya yang amat saya gemari..

Mekar Dakwah

Harum menyegarkan,
Tatkala bunga mekar setaman,
Menghantar aroma nyaman,
Ke segenap alam,
Seindah itulah perasaan,
Tatkala dakwah subur berkembang,
Dengan baja keimanan,
Dan semangat pemuda,
Mekar dan kian mekar.
Dengan itu, semoga kita semua dapat memiliki salah satu daripada novel-novel yang bertunjangkan keislaman sebenar ini daripada memiliki novel yang berteraskan cinta yang melalaikan .Wallahua’lam.

Rabu, 9 Julai 2008

KEPENTINGAN TAKHRIJ HADITH

Buku




PENGENALAN

Telah menjadi kehendak Ilahi Yang Maha Bijaksana untuk tidak membiarkan hadith-hadith berselerakan di sana sini tanpa mengutus atau memberikan keistimewaan pada sekelompok orang yang berkemampuan tinggi untuk menghentikan dampak negatif serta menyingkap tabirnya kemudian menjelaskan hakikat hadith kepada kita semua. Mereka itulah para pakar hadith yang mulia, para penjunjung panji Sunnah Nabawiyyah .Para pakar hadith ini telah melakukan penelitian dan menjelaskan keadaan hadith-hadith Rasulullah dengan menghukuminya sebagai hadith sahih dhaif dan maudhu’.

KEPENTINGAN ILMU TAKHRIJ HADITH




Ilmu takhrij hadith bermaksud ilmu yang membahaskan usul-usul dan metodologi yang memudahkan ataupun pengetahuan terhadapnya membolehkan untuk menjejaki tempat-tempat terletaknya al- hadith, mutabaat, syawahid, sama ada terletak pada rujukan asal,menyerupai asal atau tidak asal serta mengetahui martabat al hadith sama ada diterima atau ditolak.



Tidak diragukan lagi bahawa mengetahui displin ilmu takhrij sangat penting dan fardhu ke atas setiap orang yang menyibukkan diri dengan syariah, hadith, fiqh, usul, dakwah serta sirah nabawiyyah. Ini kerana ianya menunjukkan sesuatu hadith tersebut ke tempat asalnya dan diketahui darjah yang ditunjukkan sama ada dari segi sanad ataupun matan.

Keperluan terhadap takhrij supaya pencari ilmu dapat diperkuat oleh suatu hadith atau ia meriwayatkannya setelah ia mengetahui ulama-para penyusun yang meriwayatkan hadith dalam kitabnya sebagai musnad (sandaran).

Oleh kerana itu displin ilmu takhrij sangat diperlukan oleh setiap pencinta atau oleh orang yang menggeluti ilmu-ilmu syarie dan segala sesuatu yang bersangkut paut dengan Islam.


Pentingnya kegiatan takhrij al-Hadith



Terdapat tiga hal yang menyebabkan pentingnya kegiatan takhrij al- hadith dalam melaksanakan penelitian hadith iaitu

1. Untuk mengetahui asal-usul riwayat hadith yang akan diteliti.

2. Untuk mengetahui seluruh riwayat bagi hadith yang akan ditelilti

3. Untuk mengetahui ada atau tidaknya syahid dan mutabi’ pada sanad yang diteliti .

Dengan demikian pentingnya kegiatan takhrij al- hadith tersebut tidak terlepas dari unsur-unsur yang terdapat dalam pengertian takhrij al- hadith itu sendiri.



Faedah takhrij amat banyak sekali. Ini berlaku kerana dengannya membolehkan seseorang pengkaji itu sampai ke tempat atau gedung simpanan al-sunnah. Di antaranya ialah:

1- Mengenali rujukan dan sumber-sumber al-hadith

2-Pengumpulan sebanyak mungkin sanad-sanad al-hadith

3- Mengenali perihal al-Isnad dengan cara meneliti turuq hadith

4- Memperkenalkan perihal hadith tertentu berdasarkan turuq hadith yang berbilang-bilang

5- Memperkuat martabat hadith dengan banyak turuqnya

6- Mengetahui satu atau lebih hukum hadith hadith yang dikemukakan oleh para ulama hadith dan pendapat-pendapat mereka samada sahih atau sebaliknya.

7- Mengenalpasti dan menentukan nama sebenar perawi hadith tertentu dikalangan para perawi.

8- Mengenali penambahan riwayat-riwayat

9- Penjelasan makna al-Gharib

10- Menolak dakwaan hukum sesuatu hadith sebagai shaz

11- Memperjelaskan al-Mudraj

12-Memperjelaskan kekurangan yang terdapat pada hadith

13-Menyingkap kesalahan dan kesilapan para perawi

14- Mengenal pasti hadith yang diriwayat secara lafaz

15- Penjelasan berhubung masa dan tempat berlaku sesuatu peristiwa

16- Mengenali periwayat-periwayat hadith.

17- Mengenali kesalahan al-Nusakh

18- Membezakan yang al-Muhmal dikalangan perawi –perawi al-Isnad

19- Menentukan yang al-Mubham pada hadith

20- Menghilangkan kecurigaan pada 'an’anah al-Mudalis

21-Melenyapkan rasa curiga terhadap sesuatu riwayat yang bersumber daripada perawi yang bercelaru atau bercampur baur (al-ikhtilat)

* Artikel ini merupakan sebahagian ringkasan daripada projek ilmiah saya. Semoga bermanfaat.


Jumaat, 16 Mei 2008

Alhamdulillah..latihan ilmiahku sudah siap..

Segala puji dan syukur hanyalah bagi Allah. Saya bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah Yang Maha Esa bahawa tiada sekutu apa pun bagiNya dan saya bersaksi bahawa Nabi Muhammad adalah hamba dan Utusan Allah. Alhamdulillah, dengan IzinNya dapat saya siapkan latihan ilmiah ini yang bertajuk 'Kajian Aplikasi Ilmu Takhrij Hadith Dalam Jurnal Islamiyyat' dengan jayanya.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada penyelia saya iaitu Dr Azwira Abd Aziz yang sudi menerima saya sebagai pelajar di bawah seliaannya serta di atas segala masa yang diluangkan oleh beliau dalam menyempurnakan latihan ilmiah ini agar hasilnya menjadi lebih berkualiti. Selain itu, segala bimbingan dan nasihat yang telah diberikan juga amat saya hargai hingga ke hujung nyawa. Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada kedua ayahanda Mohd Muzni bin Mohd Noor dan bonda Hindun binti Mustafa yang amat saya cintai di atas setiap bantuan bantuan kewangan, nasihat dan pengorbanan yang tidak terhingga kepada saya sepanjang menyiapkan kajian ini.

Tidak lupa juga kepada pensyarah-pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia yang turut sama membantu saya melancarkan kajian ini. Seterusnya saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih buat pensyarah-pensyarah Jabatan al-Quran dan al-Sunnah yang telah banyak memberikan inspirasi, semangat serta galakan dalam proses menimba ilmu di UKM ini. Semuanya amat bermakna bagi saya dalam meredahi ujian dan dugaan dalam menuntut ilmu agama ini.

Ucapan terima kasih ini juga dihulurkan buat sahabat-sahabat yang disayangi yang sentiasa memberikan inspirasi, semangat dan pertolongan kepada saya sepanjang menyiapkan latihan ilmiah ini. Segala jasa daripada sahabat-sahabat amat saya kenangi. Penghargaan ini juga ditujukan buat mereka yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dalam kajian ini. Akhir kata, hanya Allah taala sahaja yang mampu membalas jasa anda semua di atas segala sumbangan yang diberikan. Semoga segala usaha ini diberkati olehNya serta sentiasa berada dalam redhaNya.

Ahad, 23 Mac 2008

Buku best! (2)


Tajuk : 7 Tipu Daya Syaitan ke atas Umat Islam
Pengarang: Hafiz Firdaus Abdullah
Penerbit : Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, Johor Darul Takzim.
Harga : RM 12.00

D
apatkannya segera di pasaran … Inilah buku yang patut dibaca dalam kita mengharungi dunia yang fana dan penuh ujian ini.. Agar kelak kita terselamat daripada azab api neraka… Pasti tidak merugikan dunia dan akhirat kita…. Renungilah Firman Allah Subhanahu wa ta’ala :

Maksudnya: ”Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka”.
(Faathir 35:6)

Selamat membaca..!

Buku Best! (1)



Tajuk: Bertaubat kepada Allah
Penulis: Dr. Yusuf al-Qaradhawi
Editor: Abu Aminah Wajihah
Penerbit:Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, Johor Darul Takzim.
Harga: RM 12.90

Sinopsis yang dipetik daripada buku ini:

Ilmu taubat adalah ilmu yang penting, bahkan keperluan yang sangat penting. Keperluan atas ilmu itu amat mendesak terutama dalam zaman kita ini. Manusia telah ramai tenggelam dalam dosa dan kesalahan. Banyak sekali godaan untuk melakukan kejahatan dan banyak pula halangan untuk melakukan kebaikan. Manusia melupakan Allah sehingga Allah menjadikan mereka lupa pada diri mereka.

Dalam buku ini, penulis cuba membangunkan hati yang lengah, menyedarkan fikiran yang liar dan menguatkan semangat yang telah menjadi lemah. Dia menjelaskan pentingnya taubat, kepentingan dan keutamaannya, pentingnya ianya dilakukan secepatnya serta faktor-faktor yang menjadi penghalang. Juga dijelaskan pokok-pokok, rukun-rukun dan hukum-hukum taubat."

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails