Memaparkan catatan dengan label ^rAMADHAN KAREEM^. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ^rAMADHAN KAREEM^. Papar semua catatan

Ahad, 5 September 2010

Mencari diri dalam sinar Ramadhan..

Bismillahirrahamnirrahim..

Tadi baca artikel di saifulislam.com sangat sedih.  Tajuk dia jemputan buat yang sudi. Sila renungkan hadith ni..

Daripada Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu, beliau meriwayatkan daripada Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam bahawa sesungguhnya baginda telah bersabda: Setiap umatku masuk ke Syurga kecuali yang menolaknya. Lalu baginda ditanya: Wahai Rasulullah, siapakah yang menolak (peluang masuk ke Syurga) itu? Baginda menjawab: Sesiapa yang mentaatiku, dia masuk ke Syurga, sesiapa yang mengingkariku maka dia itulah yang menolak [Hadith riwayat al-Bukhari]

Allah taala dengan rahmatNya yang Maha Agung telah memberi peluang kepada kita dengan banyaknya. Di antaranya pada bulan Ramadhan yang mulia ini. Apakah kita telah berusahan untuk mengaut semua peluang-peluang itu?

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah : 183

183. Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

 Renunglah pula pada ayat al-Quran di atas. Allah memerintahkan kita berpuasa supaya dapat menggilap lagi taqwa kita. Apakah sudah kita tingkatkan ketaqwaan kita pada bula ramadhan ini. Bulan ramadhan bakal meninggalkan kita.


Air mata

Sudahkah air mata kita ditumpahkan untuk muhasabah keinsafan? Ataukah air mata itu ditumpah untuk pada perkara yang sia-sia? Pada makhluk yang tidak dapat memberi apa-apa harapan? Pada harapan yang tidak kesampaian? Pada dunia yang fana ini?

Sama-sama kita renungkan sejenak... Semoga saya dan anda semua sentiasa sedar akan kelalaian diri supaya tidak lupa akhirat..

Insya Allah.........................

Rabu, 1 September 2010

Masa terus berlalu...


Bismillahirrahmanirrahim...

c.e.p.a.t.n.y.a.....

Pagi tadi telah menyaksikan penutupan satu program Ihya' Ramadhan di sekolah saya. Sungguh cepat masa berlalu.. Segala-galanya pantas. Masa terus berlalu tanpa menunggu kita. Setiap hari bakal berlaku perubahan.

Tidak lama lagi bakal bertemu dengan keluarga di Kampung. Adik saya dah buat status di facebook cakap rindukan saya.Hehe. Biasalah bila dok jauh dengan keluarga macamnilah. Tapi, Alhamdulillah, sahabat-sahabat dan kakak-kakak di sini baik belaka. Orang sini lemah-lembut dan bersopan-santun. Alhamdulillah sekali lagi. Salah satu rezeqi yang tidak dapat dihitung oleh saya. Tetapi Islam di sini masih lagi minoriti.=(. Mudah-mudahan hidayah Allah menerangi Tambunan. Insya Allah sama-sama kita doakan. 


Semoga bulan Ramadhan ini bakal menyaksikan satu perubahan yang baik buat diri kita semua. Biarlah sedikit asalkan istiqamah. Insya Allah..teruslah berubah jika diri masih dibelenggu kemaksiatan..teruslah berubah jika diri masih tidak ikhlas..teruslah berubah jika ingin meraih darjat taqwa..teruslah berubah jika ingin berjaya meraih cinta ALLAH.

Terima kasih kepada semua pengunjung yang sudi singgah di blog yang biasa-biasa ini. Harapan saya agar segala yang dicoretkan dapat diambil manfaatnya walaupun sedikit. Semoga kita semua sama-sama dijauhkan daripada api neraka dan mendapat tempat di syurga. Amin...




Selasa, 31 Ogos 2010

Tadabbur al-Quran..



Bismillahirrahmanirrahim...

Bulan Ramadhan adalah bulan di mana al-Quran diturunkan. Betapa mulianya bulan ini. Alhamdulillah, pastinya ramai yang bertadarus dan cuba mengkhatamkan al-Quran.Fenomena sebegini amat bagus.

Namun begitu, kita juga harus ingat, baca jangan hanya nak ekspress. Alangkah baik dan lebih bagus jika kita dapat mentadabbur ayat al-Quran itu. Maknanya.. bukan setakat kita baca sahaja ayat dia. Paling best dan baik lagi kalau kita  faham makna ayat tu..Seterusnya kita renung dengan mendalam dan menghayatinya. Sungguh.. amat mensyahdukan dan indah sekali suasana ketika seorang hamba mentadabbur ayat-ayat Allah sehingga mengalirkan air mata dek penghayatan pada kalam Allah.

Rugi tau..!

Sayang sungguh kalau kita sudah banyak kali khatam al-Quran tapi tak tahu makna dalamnya. Sudahkah kita khatam tafsir al-Quran? Bagi sapa-sapa yang belum lagi.Marilah kita mengkhatam tafsir al-Quran pulak. At least, kita tau kandungan dalam tu. Al-Quran tu manual hidup kat dunia ni. Sia-sia lah kalau kita tidak sempat membaca panduan hidup kat dunia andai kita ditakdirkan meninggal dahulu. Sebab dengan rahmat dan kasih sayang Allah lah al-Quran diturunkan supaya manusia dapat mengambil pelajaran dan faham cara untuk hidup di atas dunia yang penuh cabaran ni. 

Firman Allah subhanahu wa taala maksudnya:

 “Dan Kami turunkan dari Al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian” (Surah Al-Israa’ ayat 82)

Firman Allah subhanahu wa taala lagi maksudnya:

 “ Dan Kami turunkan kepadamu al-Kitab (al-Quran) untuk menjelaskan sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri kepada Allah.” (al-Nah, ayat 89) 


Kita dapat tau yang mana perbuatan  Allah suka, yang mana yang Allah murka. Mestilah kita kena tau semua tu sebab kita hidup di dunia ini adalah untuk beribadah kepada Allah. Kita berdiam atas muka bumiNya. Jadi tak adalah kita buat perkara yang bertentangan dengan etika sebagai seorang muslim.

Jadi, apa tunggu lagi.. Selamat mentadabbur ayat-ayat al-quran. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang lebih soleh@solehah dan sentiasa di jalan yang lurus...

Assalamualaikum... =)

Isnin, 30 Ogos 2010

Ramadhan yang hampir ke penghujungnya..

Bismillahirrahmanirrahim..

Hari ini sudah hari yang ke 20 kita berpuasa. Sungguh cepat masa berlalu. Itu saya akui. Dan telah sampai masa yang kita tunggu-tunggu iaitu meraih malam lailatul qadar di sepuluh malam yang terakhir.

Oleh itu marilah sama-sama kita mengusahakan dan memaksakan diri kita untuk meningkatkan lagi ibadah kita. Ayuh, janganlah asyik mendengar lagu raya sahaja, memikirkan pasal baju raya apa yang ingin dipakai. Feel ramadhan dahulu. Peluang keemasan masih ada. Tidakkah kita mahu kalau dosa-dosa kita diampunkan oleh Allah . Inilah peluang yang Allah janjikan kepada hamba-hambaNya di bulan Ramadhan yang mulia ini. Perhatikan baik-baik hadith ini:


Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam bersabda :





“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan

dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, dosanya yang telah lalu telah diampuni (oleh Allah)”





Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Iman – no: 38)



Bagi muslimah yang datang haid, janganlah sedih, banyak lagi ibadat yang dapat kita lakukan.
Itu adalah fitrah bagi setiap muslimah jadi terimalah takdir ini dengan seadanya dan Allah itu Maha Adil. Jangan sedih k..

Lagi satula teguran untuk saudari muslimah ku yang ku kasihi.. Di bulan puasa yang mulia tatkala kaum muslimin sedang berjuang menjaga puasa maka mintak tolong hormat dengan mengenakan baju yang menutup aurat. Janganlah pergi bazar dengan baju yang dok pakai di rumah. Mintak tolonglah ya..sama-sama mengingatkan. Lagipun, kan nampak lebih manis pakai baju yang menutup aurat di bulan yang mulia ini. Bila lagi nak mula buat perubahan kalau tidak di bulan yang berkat ini.. =)

Ok Jumpa lagi bila ada masa Insya Allah.. selamat beramal soleh... =)


Program dan program..

 Assalamualaikum...

  
Bismillahirrahamnirahim..

Alhamdulillah.. sekarang ni dah masuk bulan kelapan saya di sekolah 'baru'.  Saya berasa sangat bersyukur di atas takdir ini. Sesungguhnya setiap takdir itu ada kemanisannya yang tersendiri jika dipandang dengan kacamata keimanan. 

Teringat masa di Universiti dahulu, saya bukanlah seorang insan yang aktif berpesatuan. Saya lebih banyak lepak di library dan rela menjadi ahli persatuan biasa sahaja.  Saya sangat suka belajar walaupun keputusan saya tidaklah cantik sangat.hehe. Sehinggakan saya berkeinginan kuat untuk menyambung pelajaran di peringkat master. Hajat saya tercapai juga apabila permohonan saya diterima. Tapi takdir Allah mengatasi segalanya apabila ada sahaja aral melintang yang menyebabkan saya terhalang untuk mencapai keinginan yang satu itu.

Pemilihan saya untuk mengisi borang permohonan DPLI dulu hanyalah salah satu syarat untuk menyedapkan hati kedua ibubapa saya. Dan tidak disangka, saya mendapat DPLI dan membatalkan hasrat saya pula untuk menyambung master. Saya berfikir selama ini saya asyik dengan study sehingga tiada masa bakti tenaga saya untuk masyarakat pula. Maksud saya dengan aktiviti-aktiviti luar. Jadi saya merasakan untuk berkhidmat dahulu sebagai seorang guru pendidikan Islam yang pasti akan memaksa diri saya dari terperuk dalam dunia teori sahaja.

Alhamdulillah, saya dapat belajar banyak tentang persatuan dan program dengan baik di sekolah baru saya. Peluang ini amat saya hargai. Melihat guru-guru di sini yang begitu mahir dan cekap dalam melaksanakan tugas. Harapan saya agar saya dapat melaksanakan kerja yang diberi dengan lebih cekap lagi. Saya masih lagi bertatih dalam pelaksanaan praktikal ini. Semoga ini semua dapat melancarkan lagi kerja-kerja dakwah kita. Insya Allah... amin.

Sahabat-sahabat doakan saya terus berjaya memberi satu sumbangan kepada orang Islam.Insya Allah.. Selamat memburu lailatulQadar.


Selasa, 15 September 2009

Ramadhan dan Raya...




" Satu hari di hari raya.., aku menangis tanda gembira.. "

Begitulah lagu raya sudah pun kedengaran berkumandang di corong radio. Ketika saya bercuti pada seminggu awal puasa, saya sudah mendengar lagu raya didendangkan di shopping kompleks. Syoknya raya no.. ?..hehe.

Ramadhan yang dilupakan..

Rasulullah s.a.w bersabda :

“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan

dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, dosanya yang telah lalu telah diampuni (oleh Allah)”

(Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Iman – no: 38)



Mungkin pada anak-anak kecil yang masih tidak mengerti tentang keindahan ramadhan ketika mula masuknya ramadhan sudah gembira mengingatkan tentang hari raya. Hari ini sudah 25 Ramadhan. Tinggal lagi 5 hari untuk kita meninggalkan bulan yang penuh barakah ini.. Benar, umat Islam digalakkan untuk bergembira pada hari raya nanti. Tetapi ingatlah, peluang keemasan untuk diri kita sudah semakin hampir tarikh tutupnya. Sudahkah kita berusaha untuk menagih keampunan Allah Subhanahuwataala?..

Saya menyeru agar kita sama-sama tidak mensia-siakan baki ramdhan yang ada. Kita pun tidak pasti sama ada pada masa akan datang kita akan diberi peluang sebegini lagi.. Sungguh.. walaupun sesaat selepas ini.. Jadi, raya-raya jugak tapi jangan sampai rugi ... :) .. khas untuk diri saya jua.. Inilah masanya untuk kita menambahkan amalan kita supaya selamat di akhirat kelak. Insya Allah..

Sabtu, 5 September 2009

Mustajab doa orang yang berpuasa..


إن للصائم عند فطره دعوة لا ترد

Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)

Selasa, 26 Ogos 2008

Tiga golongan dahulu, kini dan selamanya...


Oleh: Fathoni

Bismillahirrahmanirrahim.

Ramadhan datang lagi. Bagi seorang yang mengerti apa itu Ramadhan penantiannya ibarat menanti kekasih yang telah lama dirindui. Lain pula bagi mereka yang kurang faham, penantiannya seperti menunggu satu hukuman kerja berat selama sebulan. Di sini penulis tidak berminat untuk mengupas lebih mengenai sejarah puasa atau pun hukum puasa dan amalan-amalan bulan puasa. Cuma berminat untuk melontarkan satu pandangan dengan harapan lontaran itu dapat mengejutkan minda yang mungkin berada ditapuk yang lama. Pandangan yang menuntut satu perubahan. Bukan perubahan secara mendadak tetapi berubah kearah yang lebih baik secara berdikit-dikit. Laksana berlatih mengangkat beban, dimulakan dengan yang ringan dahulu barulah diangkat yang berat.



Golongan Tidur

Mereka ini tidak boleh disalahkan apabila telah sampai nasihat kepadanya. Ibarat orang tidur yang tengah dibuai mimpi masakan mengerti apa yang diucapkan oleh orang yang jaga. Mereka ini bukan tidak mahu mendengar apa yang di sampaikan tetapi keadaan yang menjadikan mereka terus berada didalam khayalan mimpi. Oleh itu mereka perlu di kejutkan. Bukan dengan jerkahan atau jeritan yang kuat tetapi dengan cara yang penuh berhikmah. Sebab selalunya jika dengan kekasaran mengejutkan orang yang sedang tidur, mereka ini tidak mahu bangun dan jika silap gaya tukang kejut dihambatnya. DAHULU pengertian menahan diri semasa berpuasa golongan ini tidak lebih dari makan dan minum. Tidak solat tak mengapa, tidak menutup aurat tidak mengapa, mengumpat tidak mengapa yang penting puasa jangan tinggal. Bukankah Islam itu melitupi seluruh gerak geri seorang muslim itu? Apa yang menghalang anda untuk menunaikan kewajipan yang lain? Sebagaimana anda rasa tidak selesa jika tidak berpuasa di khayalak ramai, begitulah juga anda patut rasa kurang selesa jika anda tidak solat, tidak menutup aurat dan sebagainya. KINI jadikanlah Ramadhan ini satu titik permulaan untuk anda berubah. Persetankanlah orang-orang yang suka mengeluarkan nada sumbang apabila melihat anda berubah ke arah yang baik. Buangkanlah sikap ego anda, sikap yang masih lagi berkira-kira mahu berubah, sikap yang mahu menunggu bila datangnya ‘seru’ atau pun sikap satu hari nanti aku akan berubah. Jika anda masih mencari alasan yang terbaik untuk berubah, inilah ketikanya. Tidak perlu selepas kemalangan menimpa, tidak perlu menunggu musibah melanda, bila ditanya,” Hai! Engkau ni dah lain la sekarang” jawaplah dengan yakin,“ ramadhan telah tiba dan InsyaAllah moga-moga aku akan kekal begini untuk KINI dan SELAMANYA…..”

Golongan separuh sedar

Mereka ini baru terjaga dari tidur dan masih lagi pisat-pisat mengosok mata. Dalam keadaan separuh sedar kadangkala mereka mengerti apa yang di katakan tetapi masih kabur apa yang perlu dilakukan. Mereka agak lambat dalam membezakan sama ada mimpi atau pun realiti. Mereka ini memerlukan pembimbing yang menunjuk jalan. Jangan dibiarkan mereka keseorangan dalam mencari halatuju. DAHULU mereka ini faham apa itu Islam tetapi masih kabur tentang perlaksanaan syariat Islam. Apa sebabnya, mana batasnya, apa dasarnya dan bermacam-macam persoalan yang masih lagi dikunci rapi didalam peti kejahilan. Mereka sudah berlapang hati dengan apa yang diamalkannya sekarang. Puasa Ramadhan lulus, Solat lulus, zakat lulus, Haji lulus kesemua rukun Islam lulus dengan cemerlang. Mereka lupa yang kesemua syarat sah ibadat itu adalah Islam. Syarat sah solat Islam, syarat sah puasa Islam, syarat sah zakat Islam dan syarat sah haji Islam. Dan apakah itu Islam? Islam secara ringkas adalah menyerah diri. Kehidupan berlandaskan penyerahan diri secara total kepada Allah yang satu. Lupakah anda pada ikrar yang dibaca didalam doa iftitah“……solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah sekalian alam”. Benarkah hidup anda hanya untuk Allah, kerana Allah atau pun keranamu ……….Buktinya cinta bukan pada kata-kata, buktinya cinta dizahirkan dengan anggota. Sejauh manakah kehidupan anda berada didalam konsep penyerahan diri kepada Allah? Adakah anda berkeluarga ikut cara Islam? Bermuamalat ikut cara Islam? Berpakaian ikut cara Islam? Berhibur ikut cara Islam? Memerintah ikut cara Islam? Dan dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besarnya adakah mengikut cara Islam? Gagalnya untuk membuktikan kehidupan anda selaras dengan Islam secara automatik syarat sah ibadat anda boleh dipertikaikan. Islam itu bukan sekadar puasa, bukan sekadar solat, bukan sekadar zakat dan bukan sekadar menunaikan haji. Islam bukan sekadar agama ibadat tetapi merupakan cara hidup. Ubahlah pandangan anda tentang Islam. Jangan pandang Islam itu seperti satu agama ibadat semata tetapi satu tuntutan cara hidup. KINI telah tiba masanya. Biar setiap ibadat yang dilakukan tidak menjadi sia-sia oleh kerana kesombongan kita untuk menghayati apa itu cara hidup Islam. Marilah bersama Islam kerana dunia sementara akhirat SELAMANYA.

Golongan sedar

Alhamdullilah, segala puji hanya bagi Allah. Tiada kekuatan dan daya upaya melainkan dengan pertolongan Allah. Mereka dapat melihat, mereka dapat mendengar, mereka di beri kefahaman dan mereka di beri kekuatan untuk melaksanakan. Kadangkala mereka menjadi pembimbing untuk orang lain. Tapi awas! Ada kalanya mata terbuka, badan diselatan tetapi minda di utara. Jika tidur dibuai mimpi maka jaga diulik angan-angan. DAHULU jika disebak mereka ini memang arif tentang hukum agama. Semuanya mesti dipastikan betul-betul selaras dengan sunnah. Mereka akan sedaya upaya merealisasikan sunnah dan syariat Islam itu diterap didalam kehidupan. Tipu helah syaitan itu amatlah halus. Sakit perut senak rasanya, sakit kepala berdenyut-denyut pula dan penyakit agama rasa selesa. Buangkan segala sifat-sifat mazmumah didalam diri. Angkuh, bakhil, takbur, khianat, hasad, ujub, buruk sangka jangan dibiar subur tanpa diracun. Jadikan malam-malam ramadhan sebagai malam muhasabah diri. KINI perubahan dalam mengubat penyakit hati. Mereka ini faham yang disini negara amal tiada hisab baginya dan disana negara hisap tiada amal padanya. Disini juga tiada guna amal tanpa dibuang penyakit hati padanya. Mereka percaya yang kehidupan di negara akhirat itu akan kekal abadi SELAMAnya.

Akhir kalam

Semoga Ramadhan tahun ini menjadi satu titik perubahan didalam buku kehidupan kita. Tutuplah buku kemaksiatan dan kelalaian yang telah lalu. Bakarkannya dengan api kepanasan Ramadhan. InsyaAllah Ramadhan tahun ini merupakan Ramadhan yang cemerkang dalam diri kita. Tiadalah perasaan gemilang bagi orang yang berpuasa melainkan ketika dia berbuka dan menyambut hari kemenangan 1 Syawal. Walaupun diri kita yang kerdil ini tidak menjadi sebutan manusia tetapi biarlah ia menjadi sebutan terbilang disisi Allah dan para malaikatnya. Jadikannya Ramadhan cemerlang, gemilang dan terbilang. Ramadhan Karim.

Wallahu’allam

APAKAH SUMBANGAN ANDA UNTUK ISLAM?


sumber www.al-ahkam.net

Jumaat, 5 Oktober 2007

Peluang Last minute dan lailatul qadar



Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/

Sedar tidak sedar, kita telah menamatkan separuh bulan Ramadhan, berbaki lagi 15 hari sahaja. Allah s.w.t sahaja yang mengetahui samada prestasi kita dalam 15 hari yang berlalu adalah cemerlang atau temberang. Kita juga mungkin mempunyai sedikit 'clue' tentang prestasi kita sendiri.

Semenjak dua menjak ini soalan-soalan agama yang sampai kepada saya menunjukkan minat orang kepada ilmu Islam secara agak luar biasa, mungkin kerana ia merupakan bulan Syaitan dibelenggu. Alhamdulillah. Kita mengharapkan prestasi dan minat yang sama akan berterusan setelah tamatnya Ramadhan nanti.

Tidak terkecuali juga, soalan-soalan yang menggambarkan agak keringnya umat Islam kini dari ilmu Islam. Dari bentuk soalan-soalan yang diutarakan, seseorang pasti dapat mengandaikan tahap ilmu dan kefahaman seseorang.

Saya tiada masalah dengan soalan sebegini, cuma adakalanya merasa sayu dengan pengetahuan si penanya. Jangan bimbang saya tidak kenal anda, tidak perlu merasa malu. Lebih penting adalah kesungguhan dan minat yang masih berbaki untuk pelajari, ia jauh lebih baik dari menjadi orang yang langsung tidak mengendahkan keredhaan dan ketetapan hukum yang ditentukan Islam. Tahniah.

Pendekatan Last Minute & Sujud Akhir

"Orang kita memang suka benda-benda 'last minute' ni" kata seorang rakan saya
"Study last minute"
"Buat kerja suka dan lebih bersemangat bila last minute"
"Solat last minute, sujud pun nak tunggu last minute"

Sehingga timbul kefahaman yang meluas di kalangan masyarakat bahawa sujud terakhir dalam solat adalah waktu yang paling maqbul doa.

Setakat pencarian saya dalam ensaiklopedia gabungan puluh ribuan kitab Fiqh yang muktabar, Tafsir dan Hadith, tidak ada sebarang bukti dari Al-Quran atau hadith nabi atau yang menyatakan doa dalam sujud terakhir adalah yang paling maqbul.

Nabi hanya beritahu bahawa ketika sujud doa adalah maqbul, tetapi tiada dikhaskan sebagai 'Keistimewaan Sujud Terakhir' . Jika ada yang tahu, haraplah memaklumkan sumber sohihnya.
Apa yang ada adalah sabda baginda Nabi s.a.w ketika menyebut :
وَأَمَّا السُّجُودُ فَاجْتَهِدُوا في الدُّعَاءِ فَقَمِنٌ أَنْ يُسْتَجَابَ لَكُمْ
Ertinya : Dan adapun sujud, maka berusahalah memperbanyakkan doa kerana ia amat hampir dan boleh mendapat kemustajaban bagimu" ( Riwayat Muslim, 1/348 )

J ika melihat huraian dan syarahan hadis ini oleh Imam An-Nawawi dan Ibn Hajar, kita akan mengerti bahawa sujud yang maqbul itu adalah semua jenis sujud terutamanya dalam solat fardhu. Tiada sebarang pengkhususan kepada sujud akhir.

Wallahu 'alam, tiada juga dijumpai dalam kitab Fiqh yang muktabar akan cadangan sujud akhir ini. Jika benar-benar tiada, justeru ia mungkin pengaruh tabiat 'last minute' kot..sehingga terbawa-bawa dalam ibadah.

Memang benar tidak semua jenis pendekatan 'last minute' itu tidak tepat, salah, terkeji dan tidak berasas. Dalam sesetengah keadaan ia terpaksa dilakukan, tapi yang dirisaukan adalah kualitinya mungkin boleh tergugat.

Kini, kita ada peluang kita untuk meraih ganjaran dan hasil Ramadhan semakin sampai ke minit terakhir. Bagi memastikan ramai yang berjaya, sayangnya Allah s.w.t kepada kita yang lemah ini, diberinya lagi peluang minit-minit terakhir ini dengan sesuatu yang lebih istimewa. Ia bertujuan memberikan motivasi kepada kita agar mampu menjadi insan bertaqwa serta dengan segera membina tembok iman yang kukuh sebelum keluar dari bulan mulia Ramadhan.
Peluang ibadat dalam 10 malam terakhir Ramadhan telah sedai diketahui ramai. Pengkhususan berkenaan kehebatan dan tawarannya juga bukan lagi ganjil dari minda umat Islam sedunia.

Kehebatan Malam Al-Qadr
Dalam tulisan ringkas ini, cuba sama-sama kita hayati beberapa keistimewaan Laylatul Qadar seperti berikut :-
1) Malam berkat yang di turunkan padanya Al-Quran (secara sepenuhnya dari Lawh Mahfuz ke Baytil Izzah di langit dunia sebelum diturunkan kepada Nabi SAW secara berperingkat) ;
Justeru ia disifatkan sebagai malam penuh berkat dalam ayat 3 surah ad-Dukhaan. Pandangan ini adalah sohih dari Ibn Abbas, Qatadah, Sai'd Ibn Jubayr, ‘Ikrimah, Mujahid dan ramai lagi. (Tafsir Al-Baidawi, 5/157 ; Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 16/126 )
2) Di tuliskan pada malam tersebut "qadar" atau ketetapan bagi hidup, mati, gembira, rezeki, sihat, sakit dan apa jua berkaitan qadar manusia dan destinasi mereka pada tahun itu.
Ini diambil dari firman Allah s.w.t :-

فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ أَمْرًا مِّنْ عِندِنَا إِنَّا كُنَّا مُرْسِلِينَ
Ertinya : Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah, urusan yang besar dari sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah Yang mengutus rasul-rasul ( Ad-Dukhan : 4-5)
Imam At-Tabari menyebut bahawa pada malam itu, diputuskan hal ajalnya seseorang, rezekinya, kejadiannya. Malah di malam tersebut juga, ditentukan siapa yang berkahwin dengan siapa, nama siapa yang termasuk dalam senarai kematian pada tahun berikutnya, apakah musibah yang akan menimpa dan lain-lain. Ia juga yang dihuraikan oleh Imam Qatadah, Mujahid dan Al-Hassan(Tafsir At-Tabari, 25/108 )

Imam Al-Qurtubi mencatatkan
قال بن عباس يحكم الله أمر الدنيا إلى قابل في ليلة القدر ما كان من حياة أو موت أو رزق
Ertinya : Berkata Ibn Abbas, Allah s.w.t menghakimi atau menentukan urusan untuk dunia apabila tibanya Laylatul Qadar, dari segala urusan tentang kehidupan (hambanya) atau kematian atau rezeki (Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 16/126)
Demikian juga yang difahami dari apa yang disebut oleh Ibn Abbas. (Tafsir Ibn Kathir, 137/138). Imam An-Nawawi ada menghuraikan maksud panjang bagi hal ini. (Syarah Sohih Muslim, 8/57). Menurut pandangan yang lain qadar juga membawa bermaksud mulia atau agung.

Adakah kita sudah untuk meninggal dunia hari ini atau sebentar lagi?
Adakah merasa takut untuk menunggu kehadirannya?

Saya selalu cuba menghadirkan perasaan dan persoalan ini dalam minda saya, terutamanya ketika memandu kereta dan menaiki kapal terbang. Terbayang tayar meletup dan kereta terhumban, atau kapal terbang rosak dan menunggu maut hadir sebagaimana yang saya kerap dan suka saya lihat perbincangan mengenainya di dalam rancangan 'Air Crash' terbitan National Geogharphic Channel.

Jika belum merasa sedia, maka apakah sebabnya? Adakah umur yag diberikan belum mencukupi?, atau aqal belum sempurna berfikir untuk menyiapkan persediaan.? Bukankah kita merupakan insan normal yang punyai aqal sihat, malah kita amat marah digelar 'bodoh' oleh orang lain.

Lantas, apakah lagi alasan yang ingin kita sebutkan? Adakah kerana terlalu sibuk mengejar dunia dan leka dengan kenikmatan sementaranya, sehingga tiada masa memikirkan ibadah dan mengetahui perkara halal serta haram
.
Justeru, malam Al-Qadr boleh menjadi satu peluang dan ruang untuk berdoa memanjangkan umur dalam ibadah, amal soleh dan rezeki yang baik. Berusahalah.

Sama-sama kita hidupkan malam-malam akhir Ramadhan dengan dengan beribadat sehabis mungkin bagi memastikan yang terbaik buat destinasi hidup kita.

Hanya beberapa hari sahaja untuk bersengkang mata dan melawan nafsu tidur dan rehat. Jika kita punyai cuti yang agak panjang sebelum raya, habiskan ia dengan bacaan Al-Quran dan fahami ertinya. Nafsu 'shopping' dan rehat pasti akan menganggu. Lawani ia, hanya beberapa hari sahaja, paling panjang 10 hari sahaja.

3) Malam ini terlebih baik dari seribu bulan untuk beribadat.
Perlu difahami bahawa para ulama berbeza pandangan dalam pengertian seribu bulan kepada pelbagai takwilan. Cuma Imam At-Tabari selepas membawakan hampir semua pendapat-pendapat semua pihak ia mentarjihkan dengan katanya :-
وأشبه الأقوال في ذلك بظاهر التنزيل قول من قال عمل في ليلة القدر خير من عمل ألف شهر ليس فيها ليلة القدر
Ertinya : Pendapat yang paling tepat dari zahir teks nas yang diturunkan adalah pendapat yang mengatakan erti Seribu bulan adalah "beramal di laylatu Qadr sama dengan amalan seribu bulan yang tiadanya laylatul Qadr ( selian bulan Ramdhan) ( At-Tabari, 30/259)
Imam Malik dalam al-Muwatta' membawakan satu hadis Nabi s.a.w yang memberi makna seribu bulan itu adalah gandaan sebagai ganti kerana umur umat zaman ini yang pendek berbanding zaman sebelum Nabi Muhammad SAW yang amat panjang seperti Nabi Nuh as. (Al-Muwatta, no 698, 1/321 ; Al-Jami' Li Ahkamil Quran, Al-Qurtubi, 20/133 ; Syeikh Atiyyah Saqar, Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, dengan pindaan).

4) Pada malam itu, turunnya para Malaikat dan Ruh (Jibrail as).
Hal ini disebutkan di dalam al-Quran dari surah al-Qadr. Manakala, dalam sebuah hadith disebutkan bahawa pada malam tersebut, malaikat akan turun dan berjalan kepada seluruh individu yang sedang beribadat secara berdiri, duduk, bersolat, berzikir, serta memberi salam kepada mereka dan mengaminkan doa mereka maka Allah akan mengampunkan mereka kecuali empat kumpulan : Peminum arak, penderhaka ibu bapa, pemutus siltarurrahmi dan individu yang sedang bermusuhan.

5) Malam itu juga disebutkan sebagai malam yang sejahtera.
Hinggakan Syaitan juga tidak mampu untuk melakukan kejahatan dalamnya. (Tafsir Ibn Kathir, 4/531 ; Al-Qurtubi, 20/134 ) . Sejahtera dan keberkatan ini akan berterusan sehingga naik fajar dan bukannya pada saat tertentu sahaja. Hal ini juga di sebutkan dari firman Allah dalam surah al-Qadr.

6) Diampunkan dosa terdahulu bagi sesiapa yang menghidupkannya dengan iman, ikhlas dan mengharap redha Allah;
Ia berdasarkan hadith sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim. (Fath al-Bari, 4/251)
Hidup kita adalah pendek, panjangkan ia dengan amal jariah dan amalan soleh melebihi seribu bulan.

Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
http://zaharuddin.net/
15 Ramadhan 1428 H
27 September 2007

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails