Memaparkan catatan dengan label ^Ibadat^. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ^Ibadat^. Papar semua catatan

Rabu, 24 Jun 2009

Amalan-amalan yang dianggap sunnah dalam bulan Rejab..


PDF Print E-mail

Tuesday, 23 June 2009

Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Rejab secara bahasa bermaksud mengagungkan atau memuliakan. Bulan Rejab merupakan bulan yang ke tujuh dalam kalendar hijrah. Ia dinamakan Rejab kerana orang-orang Arab pada zaman jahiliah memuliakan bulan ini lantas mengharamkan apa jua bentuk peperangan pada bulan ini. Di antara kabilah Arab yang ekstrem dalam mengagungkan bulan Rejab ini adalah bani Mudhar.

Di dalam kalendar umat Islam terdapat dua belas bulan yang mana Allah S.W.T. telah memuliakan empat bulan darinya. Firman-Nya:

Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa. – al-Tawbah (9) : 36

Imam al-Qurthubi berpendapat tafsiran “maka janganlah kamu menganiaya diri kamu” di dalam ayat di atas bermaksud jangan seseorang itu menjadikan apa yang diharamkan pada bulan ini halal dan janganlah mengharamkan apa yang halal.

Jika firman-Nya di atas hanya menunjukkan terdapat empat bulan yang dihormati dalam setahun maka sabda Nabi s.a.w. ini memperincikan lagi tentang nama bulan-bulan tersebut:

Sesungguhnya zaman itu akan terus berlalu sebagaimana saat Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun itu ada dua belas bulan. Empat di antaranya ialah bulan-bulan yang haram, tiga di antaranya ialah berturut-turut, iaitu bulan-bulan Dzulqaedah, Dzulhijjah dan Muharram. Bulan Rejab adalah bulan Mudhar (nama satu kabilah) yang terletak di antara Jamadilakhir dan Sya’ban. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 4662

Ternyata bulan Rejab termasuk dalam bulan-bulan yang telah dimuliakan oleh Allah S.W.T.. Justeru itu telah tersebar dalam masyarkat kita behawa terdapat amalan-amalan yang dikhaskan sempena bulan Rejab ini dan ianya memiliki fadilat-fadilat yang besar. Namun begitu pada hakikatnya tidak wujud satu dalil yang sah menunjukkan terdapat amal-amal ibadah yang tertentu bersempena dengan bulan Rejab. Hal ini telah diperakui oleh tokoh ulamakk hadis bermazhab Syafie iaitu al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani r.h dalam kitabnya Tabyin al-Ajib Bimaa Warada Fi Fadli Rajab yang mana menurut beliau tidak ada hadis yang sahih tentang keutamaan bulan Rejab (melainkan ia termasuk bulan-bulan haram), puasa Rejab dan solat malam pada bulan Rejab yang dapat dijadikan pegangan. – Rujuk Muhammad ‘Abdussalam al-Syaqiry, As-Sunan wa al-Mubtada’aat al-Muta’alliqah bi al-Adzkaar wa ash-Shalawaat, (edisi terjemahan dengan tajuk Bidaah Bidaah Yang Dianggap Sunnah, Qisthi Press, Jakarta, 2004) ms. 152.

PUASA REJAB

Adalah masyhur di sisi masyarkat kita bahawa disunatkan untuk berpuasa pada 1hb Rejab, hari Khamis minggu pertama bulan Rejab, Nisfu Rejab dan 27hb Rejab sempena Israk Mikraj. Untuk menguatkan hujah puasa-puasa sunat ini maka diketengahkan beberapa riwayat-riwayat palsu serta lemah bersertakan ganjaran pahala yang besar. Menurut Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah r.h di dalam Majmu’ Fatawa:

Adapun puasa bulan Rejab secara khusus disandarkan kepada hadis-hadis yang kesemuanya dha’if (lemah) bahkan maudhu’ (palsu) yang tidak dijadikan sebagai hujah oleh ahli ilmu dan bukan pula termasuk hadis dha’if yang dikategorikan dalam amalan-amalan mulia tetapi hadis-hadis dha’if yang masuk dalam kategori hadis dusta. - Dinukil dari kitab al-Bida’ al-Hauliyyah karya ‘Abdullah bin Abdul Aziz al-Tuwaijiry (edisi terjemahan dengan tajuk Ritual Bidaah Dalam Setahun, Darul Falah, Jakarta 2003), ms. 243-244.

Ibnu Rajab di dalam al-Mughni pula berkata:

Mengenai keutamaan puasa khusus pada bulan Rejab, tidak ada satupun hadis sahih yang diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. mahupun para sahabat. - Dinukil dari kitab al-Bida’ al-Hauliyyah, ms. 245.

Syaikh Sayyid Sabiq r.h pula berkata:

Mengenai puasa pada bulan Rejab, tiada kelebihan yang menonjol baginya berbanding bulan-bulan lain melainkan ia termasuk bulan-bulan suci. Dan tidak diterima dari sunnah keterangan yang sah bahawa berpuasa pada bulan itu mempunyai keistimewaan khusus. Ada juga diterima riwayat (tentang keutamaan berpuasa pada bulan Rejab), tetapi tidak dipertanggung-jawabkan sebagai hujah – Sayyid Sabiq, Fiqhu as-Sunnah (edisi terjemahan dengan tajuk Fikih Sunnah, Victory Agencie, Kuala Lumpur, 1990), jilid 3, ms. 205.

Sungguhpun begitu apa yang ditemui adalah riwayat daripada para sahabat Nabi yang melarang puasa pada bulan Rejab.

Ibnu Abi Syaibah meriwayatkan daripada Kharsyah bin Hurr yang berkata: Saya melihat ‘Umar r.a membuat makanan untuk manusia pada bulan Rejab hingga mereka meletakkanya di dalam mangkuk besar. ‘Umar berkata: Makanlah, kerana ini adalah bulan yang diagungkan oleh orang-orang jahiliyah. – Hadis riwayat Ibnu Abi Syaibah dalam Mushannif, jilid 3, ms. 102

Malah Saidina ‘Umar juga dikatakan telah memukul tangan mereka yang berpuasa pada bulan Rejab

Daripada Atha’, dia berkata: “Ibnu ‘Abbas melarang puasa pada bulan Rejab seluruhnya, agar tidak dijadikannya sebagai hari besar (hari raya). – Hadis riwayat Abdurrazaq dalam Mushannif, no: 7854.

Selain dari itu terdapat juga di kalangan masrakat kita yang mengamalkan berpuasa berterusan selama tiga bulan iaitu pada bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan. Amalan ini juga sebenarnya tidak memiliki sebarang dalil yang sah. Imam Ibnul Qayyim r.h berkata:

Rasulullah tidak berpuasa pada tiga bulan tersebut secara terus menerus seperti yang dilakukan sebahagian orang dan baginda sama sekali tidak berpuasa pada bulan Rejab dan baginda pun tidak menggalakkan berpuasa pada bulan Rejab. Bahkan diriwayatkan daripada baginda bahawa baginda melarang berpuasa pada bulan Rejab seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah. – Rujuk Muhammad ‘Abdussalam al-Syaqiry, As-Sunan wa al-Mubtada’aat al-Muta’alliqah bi al-Adzkaar wa ash-Shalawaat, ms. 152.

Meskipun begitu sekiranya seseorang itu berpuasa pada bulan Rejab tanpa niat mengagungkan bulan tersebut sebagaimana golongan jahiliah dan tidak menyakini fadilat-fadilat palsu yang dikaitkan dengan puasa pada bulan Rejab tersebut atau dia hanya berpuasa bertepatan dengan hari-hari yang disunatkan berpuasa seperti puasa hari Isnin dan Khamis, puasa Ayyam al-Bidh (puasa pada tarikh 13,14 dan 15 setiap bulan) atau Puasa Nabi Daud (puasa selang sehari) dalam bulan Rejab, maka puasa sebegini dibenarkan oleh syarak. Wallahu a’lam.

SOLAT BULAN REJAB

Terdapat beberapa solat yang dikhususkan sempena bulan Rejab seperti solat pada malam pertama bulan Rejab, solat Nisfu Rejab, solat pada malam 27hb Rejab dan yang paling diketahui ramai yakni solat yang dikerjakan pada malam Jumaat minggu pertama bulan Rejab yang dikenali sebagai solat Raghaib. Kesemua dalil tentang solat-solat khusus sempena bulan Rejab ini adalah sama ada dha’if atau mawdhu’ sebagaimana yang telah diperkatakan oleh al-Hafidz Ibnu Hajar r.h dalam Tabyin al-Ajib Bimaa Warada Fi Fadli Rajab. Tentang solat Raghaib ini Imam al-Nawawi yang juga merupakan seorang tokoh dalam mazhab Syafie telah berkata di dalam Fatawa an-Nawawi (ms. 40):

Solat Raghaib adalah bidaah yang tercela, mungkar dan sangat diingkari, yang mencakup kemungkaran-kemungkaran sehingga harus ditinggalkan, ditentang dan diingkari pelakunya. Kepada para penguasa harus melarang manusia dari melaksanakan solat ini kerana mereka adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab atas rakyatnya
Para ulamak telah menulis buku-buku khusus tentang masalah ini untuk mengingkari dan mencelanya serta membodohkan pelakunya. Janganlah kita terperdaya oleh banyaknya orang yang melakukannya di banyak negara Islam dan jangan pula tergoda kerana solat itu tertulis dalam kitab Quut al-Qulub (karya Muhammad bin Ali bin Athiyah al-Ajami al-Makki) dan Ihya’ ‘Ulum ad-Din (karya Hujjatul Islam Imam al-Ghazali) dan sebagainya kerana kedua solat itu iaitu (solat Raghaib dan solat Nisfu Syaaban) itu adalah bidaah yang batil. - Dinukil dari kitab al-Bida’ al-Hauliyyah karya ‘Abdullah bin Abdul Aziz al-Tuwaijiry, ms. 286.

UMRAH PADA BULAN REJAB

Terdapat juga pandangan bahawa pada bulan Rejab disunatkan untuk mengerjakan ibadah umrah. Namun begitu menurut ‘Aisyah r.a Rasulullah s.a.w tidak pernah mengerjakan atau menganjurkan umrah untuk dikerjakan pada bulan Rejab.

Daripada Mujahid dia berkata: Aku masuk bersama Urwah bin az-Zubair ke masjid, ternyata ‘Abdullah bin ‘Umar r.a sedang duduk di samping bilik Saidatina ‘Aisyah r.a ... Kemudian dia berkata kepadanya: Berapa kali Rasulullah s.a.w. melakukan umrah? Dia (Ibnu ‘Umar) menjawab: Empat kali Rasulullah s.a.w. melakukan umrah. Dia (Ibnu ‘Umar) menjawab: Empat kali, salah satunya pada bulan Rejab. Lalu kami pun enggan untuk membenarkan perkataannya.
Dia (mujahid) berkata: Kami mendengar dia (iaitu ‘Aisyah) sedang bersiwak. Kemudian Urwah bertanya kepada ‘Aisyah r.a: Wahai ibu orang-orang mukmin! Benarkah apa yang dikatakan oleh Abu ‘Abdurrahman? Dia berkata: Apa yang dia katakan? Aku menjawab: Dia berkata bahawa Nabi s.a.w. pernah mengerjakan umrah pada bulan Rejab. Beliau berkata: Semoga Allah merahmati Abu ‘Abdurrahman. Rasulullah tidak melakukan satu Umrah pun melainkan dia (yakni ‘Aisyah) ikut bersama baginda dan baginda tidak pernah mengerjakan umrah pada bulan Rejab – Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Umrah, no: 1775 & 1776.

Ternyata Rasulullah s.a.w. tidak pernah mengerjakan umrah pada bulan Rejab dan tidak ada juga riwayat yang sabit daripada baginda yang menganjurkan umrah dikerjakan pada bulan Rejab. Oleh itu pendapat yang lebih tepat adalah bahawa ibadah umrah tidak memiliki keutamaan tertentu sekiranya dikerjakan pada bulan Rejab malah tidak ada dalil yang kuat menunjukkan ianya disunnahkan untuk dikerjakan pada bulan tersebut. Riwayat-riwayat yang menunjukkan terdapat dikalangan generasi salaf yang mengerjakan umrah pada bulan Rejab bukan menunjukkan mereka telah berniat untuk mengkhususkan bulan itu untuk berumrah. Namun tujuan mereka adalah untuk melaksanakan haji dan umrah dalam dua waktu atau perjalanan yang berbeza.

‘ATIRAH BULAN REJAB

‘Atirah adalah haiwan yang disembelih pada bulan Rejab yang digunakan oleh orang-orang Arab jahiliyah untuk mendekatkan diri kepada tuhan-tuhan mereka. Ianya dilaksanakan pada sepuluh hari pertama bulan Rejab dan haiwan yang biasanya dipergunakan untuk ritual ini adalah kambing. Terdapat sesetengah umat Islam yang masih melaksanakan ‘Atirah ini berpandukan beberapa hadis seperti dibawah.

Al-Harith bin Amru pernah bertanya Rasulullah s.a.w. tentang ‘Atirah maka jawab baginda:

Sesiapa yang mahu menyembelih ‘Atirah silakan menyembelih dan siapa yang tidak mahu jangan menyembelih. – Hadis riwayat Imam al-Nasa’i dalam Sunannya, Kitab al-Fara’ wa al-‘Atirah, no: 4154

Sabda Rasulullah s.a.w.:

Wahai manusia, kepada setiap ahlul bait diwajibkan untuk berkurban dan menyembelih ‘Atirah setiap tahun. Tahukah kalian apa itu ‘Atirah? Iaitu apa yang kalian namakan Rajaban. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Adhahi, no: 1438.

Namun hadis-hadis tersebut hanya menunjukkan ‘Atirah telah dibenarkan perlaksanaanya pada zaman awal kedatangan Islam sedangkan ia telah dimansuhkan hukumnya setelah itu sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. seperti diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a:

Tidak ada lagi Fara’ dan juga ‘Atirah. Fara’ ialah anak unta pertama yang disembelih dan dipersembahkan kepada berhala dengan harapan induknya (ibu unta tersebut) akan lebih banyak melahirkan anak. Sedangkan ‘Atirah adalah kambing yang disembelih pada sepuluh hari pertama bulan Rejab. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Aqeeqah, no: 5473.

Imam Ibnul Qayyim r.h di dalam Tahdzib Sunan Abi Dawud berkata:

Orang-orang Arab mengerjakan tradisi (al-‘Atirah) itu pada masa jahiliah, lalu dikerjakan sebahagian orang Islam sehingga Rasulullah s.a.w. memerintahkannya, tetapi setelah itu baginda melarangnya seraya bersabda “Tidak ada lagi Fara’ dan juga ‘Atirah” sehingga umat Islam setelah itu dilarang mengerjakan ‘Atirah. - Dinukil dari kitab al-Bida’ al-Hauliyyah karya ‘Abdullah bin Abdul Aziz al-Tuwaijiry, ms. 241.

Namun ini bukan bermakna dilarang sama sekali untuk menyembelih haiwan pada bulan Rejab. Yang dilarang adalah menghidupkan semula al-‘Atirah atau menyembelih haiwan dengan niat untuk mengagungkan bulan Rejab sebagaimana golongan Arab jahiliah. Wallahu a’lam.

SAMBUTAN ISRAK DAN MIKRAJ

Setiap kali apabila munculnya tarikh 27 Rejab maka umat Islam seluruh dunia akan rancak membincangkan tentang peristiwa Israk dan Mikraj. Pelbagai program keagamaan diatur demi memuliakan peristiwa bersejarah tersebut. Hal ini merupakan satu usaha murni untuk mengingatkan kembali umat Islam kepada peristiwa-peristiwa bersejarah yang mana di dalamnya terdapat pelbagai pengajaran bermanfaat. Rata-rata umat Islam di Malaysia yakin bahawa peristiwa Israk dan Mikraj memang benar-benar berlaku pada 27 Rejab. Seolah-olah ia telah disepakati di kalangan para ulamak ahli sunnah wal jamaah. Hakikat yang sebenar adalah wujudnya perbezaan pendapat di kalangan para ulamak tentang tarikh terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj tersebut. Hal ini telah diperjelaskan oleh al-Hafidz Ibu Hajar al-'Asqalani r.h:

Para ulamak berselisih pendapat mengenai waktu berlakunya al-Mikraj. Ada yang mengatakan sebelum baginda dilantik menjadi Nabi. Pendapat ini ganjil (syaz) kecuali dianggap terjadi dalam mimpi. Kebanyakan ulamak berpendapat setelah baginda menjadi Nabi. Mereka juga berselisih tentang tarikh sebenar peristiwa ini.
Antara mereka ada yang menyatakan peristiwa ini berlaku setahun sebelum hijrah. Ini merupakan pendapat Ibn Sa'd dan yang lainnya dianggap benar oleh Imam al-Nawawi dan Ibn Hazm. Bahkan, Ibn Hazm berlebihan dengan menukil kononnya ulamak telah berijmak bahawa peristiwa itu terjadi pada bulan Rabiul Awal. Dakwaan ijmak ini tertolak kerana terdapat perselisihan yang banyak, iaitu lebih dari sepuluh pendapat." – Rujuk Kitab Fathul Baari Syarah Shahih al-Bukhari, (edisi terjemahan dengan tajuk Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih al-Bukhari, Pustaka Azzam, Jakarta 1997),jilid. 7, ms. 203.

Seterusnya al-Hafiz Ibn Hajar menyebutkan pendapat para ulama tersebut satu pesatu. Antara ringkasannya ialah:

1. Berlaku setahun sebelum hijrah, iaitu pada bulan Rabiul Awal. Ini adalah pendapat Ibn Sa'd dan selainnya. Pendapat ini dibenarkan oleh Imam al-Nawawi.

2. Tarikh peristiwa ini berlaku ialah lapan bulan sebelum hijrah, iaitu pada bulan Rejab. Ini menurut pendapat Ibn Hazam. Katanya: Ia berlaku pada bulan Rejab tahun ke 12 kenabian.

3. Ia berlaku enam bulan sebelum hijrah, iaitu pada bulan Ramadan. Pendapat ini disampaikan oleh Abu al-Rabie’ bin Saalim.

4. Ia berlaku 11 bulan sebelum hijrah, iaitu pada bulan Rabiul Akhir. Ini pendapat Ibrahim bin Ishaq al-Harbiy. Katanya: Ia berlaku pada bulan Rabiul Akhir, setahun sebelum hijrah. Pendapat ini dibenarkan Ibn al-Munayyir di dalam Syarh al-Sirah karya Ibn Abdul Bar.

5. Setahun dua bulan sebelum hijrah. Pendapat ini disampaikan oleh Ibn Abdul Bar.

6. Setahun tiga bulan sebelum hijrah. Pendapat ini disampaikan oleh Ibn Faaris.

7. Setahun lima bulan sebelum hijrah. Ini adalah pendapat al-Suddiy.

8. Lapan belas bulan sebelum hijrah dan jatuh pada bulan Ramadan. Pendapat ini disampaikan Ibn Saad, Ibn Abi Subrah dan Ibn Abdul Bar.

9. Berlaku pada bulan Rejab tiga tahun sebelum hijrah. Pendapat ini di sampaikan Ibn al-Atsir.

10. Lima tahun sebelum hijrah. Ini menurut pendapat Imam al-Zuhriy dan dibenarkan oleh al-Qadhi ‘Iyaadh’.

Dari sini, benarlah dakwaan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah r.h bahawa tidak ada dalil yang tegas menunjukkan bila tarikh sebenar terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj ini. Bahkan, Imam Abu Syamah al-Syafie r.h menegaskan:

Sebahagian ahli cerita menyebut bahawa Israk dan Mikraj terjadi pada bulan Rejab. Dalam hal ini, menurut ahli al-Jarh wa al-Ta’dil (ulamak hadis) hal itu merupakan pembohongan. – Rujuk Kitab al-Ba’its karya Abu Syamah Abdul Rahman bin Ismail, ms. 171.

Ibn Rajab al-Hanbali r.h pula berkata:

Telah diriwayatkan bahawa pada bulan Rejab terjadi banyak peristiwa yang istimewa. Tetapi, tidak ada satu pun dalil yang sahih dalam hal ini. Diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w lahir pada awal malam bulan Rejab, diangkat menjadi Nabi pada tarikh 27 Rejab, ada yang menyatakan tarikh 25 Rejab dan sebagainya. Semua riwayat itu tidak sahih. – Rujuk Kitab Latoif al-Ma’aa-rif karangan Ibn Rajab Abdul Rahman bin Ahmad, ms. 168.

PENGAJARAN DARI PERSELISIHAN INI

Apa kepentingannya untuk membawa perbezaan pendapat tentang tarikh peristiwa Israk dan Mikraj ini? Tidakkah ia hanya akan menimbulkan kekeliruan? Bagi penulis, apabila kita ingin menyampaikan ilmu berkaitan agama kita hendaklah berlaku adil dan memastikan kesahihan fakta.

Walaupun sesuatu perkara yang ingin kita sampaikan itu bertentangan dengan pandangan majoriti masyarakat setempat. Namun, kita tetap mesti bersifat amanah demi menjaga ketulenan agama. Pengajaran yang dapat kita ambil dari pendedahan ini adalah:

1. Kita perlu mempertingkatkan kefahaman kita terhadap agama ALLAH. Jangan kita menelan bulat-bulat apa yang disuapkan oleh pihak lain terhadap kita. Kita harus berusaha bersungguh-sungguh untuk memahami ajaran sebenar Rasulullah s.a.w agar dapat membezakan antara perkara hak dan batil. Hal ini hanya dapat direalisasikan melalui kesungguhan kita dalam mempelajari ilmu-ilmu agama. Ketahuilah bahawa menuntut ilmu itu diwajibkan ke atas setiap Muslim.

Sabda Nabi s.a.w:

"Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap muslim." - Hadis riwayat Imam Ibn Majah di dalam Sunan Ibn Majah, Kitab al-Muqaddimah, hadis no: 220.

ALLAH juga meninggikan darjat mereka yang memiliki ilmu melalui firman-NYA:

"ALLAH akan meninggikan kedudukan orang-orang yang beriman antara kamu dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat." – Surah al-Mujadilah: 11.

Ini merupakan ganjaran paling besar bagi mereka yang berusaha bersungguh-sungguh mempelajari apa jua bidang ilmu terutamanya ilmu-ilmu berkaitan agama. Sekiranya kita hanya berpuas hati dengan ilmu agama yang telah dipelajari ataupun yang telah kita warisi secara turun-temurun tanpa mempunyai niat untuk mempertingkatkannya, natijahnya kita hanya berpegang kepada pendapat bahawa tarikh peristiwa Israk dan Mikraj tersebut berlaku pada malam 27 Rejab kononnya menurut ijmak para ulama.

Oleh itu, dalami ilmu agama dari sumber sahih bersumberkan al-Quran dan sunnah menurut fahaman generasi salafussoleh. Siapakah generasi salafussoleh? Mereka adalah generasi terbaik bagi umat Islam sebagaimana sabda Nabi s.a.w:

"Sebaik-baik generasi ialah generasiku (sahabat), kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi’in) dan kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi’ al-Tabi’in)." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Manaqib, hadis no: 3650.

Inilah manhaj sebenar ahli sunnah wal jamaah, iaitu mereka yang berpegang teguh dengan al-Quran dan sunnah dan mengikuti semua ajaran yang di bawa oleh Rasulullah s.a.w sama ada berupa iktikad, ibadah, muamalah atau akhlak sebagaimana yang difahami dan dilaksanakan oleh generasi salafussoleh dan para pengikut mereka hingga ke hari ini.

2. Apabila tarikh sebenar terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj tidak diketahui secara jelas oleh generasi salafussoleh, ini menunjukkan bahawa mereka tidak mengkhususkan apa-apa upacara sambutan atau amal ibadah tertentu seperti puasa, solat, bacaan wirid mahupun doa yang khusus sempena tarikh tersebut.

Ada golongan yang lebih ekstrem beranggapan bahawa beribadah pada malam 27 Rejab ini adalah lebih utama berbanding ibadah pada malam lailatulqadar. Sekiranya terdapat amalan khusus sempena peristiwa Israk dan Mikraj tentu generasi salafussoleh mengetahui dengan pasti tentang bila sebenarnya ia berlaku sebagaimana amalan sunnah lain yang ditentukan waktu amalannya seperti puasa ‘Asyura pada tarikh 9 dan 10 Muharram, puasa pada hari-hari 'putih', iaitu pada tarikh 14, 15 dan 16 setiap bulan, beribadah pada malam lailatulqadar yang boleh berlaku pada mana-mana malam ganjil pada 10 malam terakhir bulan Ramadan dan lain-lain lagi.

Ini semua hanya memperlihatkan bahawa tidak terdapat amalan khusus sempena peristiwa Israk dan Mikraj. Sekiranya memperingati malam Israk dan Mikraj dengan ibadah tertentu itu disyariatkan serta membawa kebaikan di dunia mahupun akhirat, tentu sekali orang pertama yang akan melaksanakannya adalah Rasulullah s.a.w, para sahabat serta generasi salafussoleh yang lain.

Namun, tidak ada satu riwayat yang sahih daripada baginda, para sahabat serta generasi salafussoleh termasuk imam-imam mazhab seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad tentang wujudnya amal-amal ibadah tertentu sempena malam Israk dan Mikraj.

Menurut Syeikh Muhammad Abdul Salam Khadr al-Syaqiry r.h:

"Pembacaan kisah al-Mikraj dan berkumpul untuk merayakannya pada malam 27 Rejab adalah bidaah. Sementara oang yang mengistimewakan malam tersebut dengan zikir dan ibadah adalah bidaah. Doa-doa yang khusus dibaca pada bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan hanyalah ciptaan manusia dan bidaah. Sekiranya amalan-amalan tersebut baik, sudah pasti para sahabat telah melakukannya terlebih dahulu. Juga tidak ada dalil pasti yang menetapkan bilanya terjadi peristiwa Israk dan juga bulannya." - Rujuk Kitab al-Sunan wa al-Mubtada’at karya Syeikh Muhammad Abdul Salam Khadr al-Syaqiry (edisi terjemahan bertajuk Bidaah -Bidaah yang Dianggap Sunnah), ms. 153-154.

Ibn al-Haj al-Maliki r.h berkata:

“Antara bidaah yang diciptakan pada malam 27 Rejab adalah sambutan malam Israk dan Mikraj.” – Rujuk Kitab al-Madhkal karangan Ibn al-Haj, jil. 1, ms. 294.

3. Ulama ahli sunnah wal jamaah melihat pentingnya sentiasa berpegang teguh dengan sunnah Nabi s.a.w dalam melakukan amal ibadah. Setiap amalan yang tidak ada contohnya daripada Nabi s.a.w, ia tertolak walaupun dianggap baik.

Para ulama ahli sunnah wal jamaah telah menetapkan satu kaedah asas dalam menentukan sama ada amal ibadah kita diterima atau ditolak oleh ALLAH. Amat penting bagi kita untuk benar-benar memahami kaedah asas ini agar kita tidak melakukan amalan yang sia-sia dan tidak diterima oleh ALLAH. Kaedah yang dimaksudkan oleh penulis adalah amal ibadah tersebut hendaklah dikerjakan semata-mata ikhlas kerana ALLAH dan mengikuti (ittiba’) sunnah Nabi s.a.w. yang tsabit.

Sekiranya kedua syarat yang telah digariskan di atas atau salah satu darinya tidak dipenuhi, amal ibadah tersebut dianggap terbatal dan tidak diterima.

Firman ALLAH S.W.T:

"DIAlah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; siapakah antara kamu yang lebih baik amalnya dan DIA Maha Berkuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat)." – Surah al-Mulk: 2.

Maksudَ ‘yang lebih baik amalannya’ adalah sebagaimana tafsiran Fudhail bin ‘Iyaadh r.h, iaitu:

"Yang paling ikhlas dan yang paling benar. Mereka bertanya: Wahai Ali (nama gelaran untuk Fudhail bin ‘Iyaadh), apakah yang dimaksudkan dengan yang paling benar dan yang paling ikhlas? Jawab Fudhail bin ‘Iyaadh: Sesungguhnya amal itu apabila dikerjakan dengan ikhlas akan tetapi tidak benar nescaya tidak akan diterima dan apabila amal itu dikerjakan dengan benar tetapi tidak ikhlas nescaya tidak akan diterima sehingga amal itu dikerjakan dengan ikhlas dan benar. Yang dimaksudkan dengan ikhlas ialah amal itu kerana ALLAH dan yang dimaksudkan dengan benar ialah amal itu di atas dasar sunnah.” - Dinukil daripada Kitab al-Masaa-il (Masalah-Masalah Agama), karya Abdul Hakim bin Amir Abdat, jil. 2, ms. 258.

Berlandaskan pada kaedah ini maka para ulama ahli sunnah wal jamaah menolak untuk mengkhususkan amalan tertentu pada malam 27 Rejab sempena peristiwa Israk dan Mikraj kerana Nabi s.a.w tidak pernah memerintahkan umatnya untuk melakukannya. Imam Ibn Nuhas al-Syafie r.h berkata:

"Sesungguhnya peringatan malam Israk dan Mikraj adalah bidaah yang besar dalam agama yang dibuat oleh Ikhwan al-Syayatin (sahabat-sahabat syaitan)." – Rujuk Tanbih al-Ghafilin karya Ibn Nuhas, ms. 379-380.

Sewajarnya umat Islam memastikan bahawa amal ibadah mereka benar-benar bebas dari syirik ataupun riak dan ia ikhlas hanya ditujukan untuk mendapat keredhaan ALLAH. Di samping itu, kita juga wajib mengamalkan ibadah yang benar-benar berasaskan sunnah Nabi s.a.w dan bebas dari amalan-amalan bidaah kerana semua bidaah menyesatkan walaupun nampak seperti amalan yang boleh membawa kepada kebaikan.

Kita hendaklah benar-benar faham bahawa mencontohi Rasulullah s.a.w adalah bukti jelas menunjukkan kecintaan kita kepada ALLAH sebagaimana firman-NYA:

"Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi ALLAH maka ikutlah aku, pasti ALLAH Mengasihi kamu serta Mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." – Surah Ali Imran: 31.

4. Ahli sunnah wal jamaah berkeyakinan bahawa syariat Islam telah sempurna sebelum Rasulullah s.a.w wafat dan tidak memerlukan ciptaan amalan-amalan baru yang tidak pernah dianjurkan mahupun diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. Apa yang ada pada zaman Rasulullah s.a.w tidak termasuk sebahagian syariat agama maka ia juga tidak akan menjadi sebahagian agama pada hari ini dan buat selama-lamanya.

Oleh itu, segala amal ibadah para ahli sunnah wal jamaah sentiasa berdalil kepada sunnah Nabi s.a.w yang tsabit dan meninggalkan amal ibadah yang hanya berdasarkan rekaan manusia serta hadis-hadis lemah atau palsu. Mereka menggabungkan antara ilmu dan ibadah. Ini berbeza dengan golongan selain mereka yang melakukan amal ibadah tanpa ilmu sehingga amalan-amalan bidaah mudah meresap dan kemudiannya dianggap sunnah.

Sekiranya pada zaman Rasulullah s.a.w masih hidup, baginda langsung tidak pernah menyuruh para sahabat menghidupkan malam 27 Rejab dengan amalan-amalan khusus sempena memperingati malam Israk dan Mikraj, maka dapat kita fahami bahawa hal tersebut bukan sebahagian dari agama pada hari ini dan selama-lamanya.

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa peristiwa Israk dan Mikraj merupakan tanda kebesaran ALLAH dan ia membuktikan betapa tingginya darjat sayyidul mursalin (penghulu segala rasul), iaitu Muhammad bin Abdullah s.a.w.

Firman ALLAH S.W.T:

"Maha Suci ALLAH yang telah menjalankan hamba-NYA (Muhammad) pada malam hari dari masjidilharam (di Makkah) ke masjidilaqsa (di Palestin, yang KAMI berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) KAMI. Sesungguhnya ALLAH jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." – Surah al-Israa’: 1.

Melalui peristiwa tersebut terdapat begitu banyak pelajaran yang begitu bermanfaat yang tidak selayaknya sekiranya ia hanya ingin diketengahkan pada tarikh 27 Rejab. Mari kita perhatikan beberapa pegajaran penting dari peristiwa tersebut secara ringkas:

a. Ia membatalkan fahaman bahawa ALLAH berada di mana-mana sebagaimana iktikad kelompok menyeleweng seperti Muktazilah dan Jahmiyah. Melalui peristiwa ini Nabi Muhammad s.a.w telah di angkat ke atas langit untuk bertemu dengan ALLAH. Ini membenarkan iktikad bahawa ALLAH bersemayam di atas ‘Arasy yang terletak di atas langit.

Firman ALLAH S.W.T:

"ALLAH yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian DIA bersemayam di atas Arasy; kamu tidak akan beroleh sebarang penolong dan pemberi syafaat selain daripada ALLAH. Oleh itu, tidakkah kamu mahu insaf dan mengambil iktibar (untuk mencapai keredhaan-NYA)?." - Surah al-Sajadah (32) : 4.

Iktikad ini juga telah disepakati oleh imam-imam mazhab yang empat termasuk Imam Syafie r.h. Imam al-Zahabi r.h telah menyebutkan di dalam kitabnya al-‘Uluw li al-‘Aliy al-Ghaffar bahawa Imam Syafie r.h pernah berkata:

“Pendapatku tentang sunnah, di mana aku berpegang kepadanya dan juga sebagaimana ia menjadi pegangan orang-orang yang aku lihat seperti Sufyan, Malik dan lain-lain, iaitu pengakuan terhadap persaksian bahawa tiada TUHAN selain ALLAH dan sesungguhnya Muhammad adalah Rasulullah serta beriktikad bahawa ALLAH itu berada di atas Arasy-NYA yang terletak di atas langit-NYA.” - Rujuk kitab Manhaj Akidah Imam al--Syafie karya Dr. Muhammad A.W. al-‘Aqil, ms. 282.

b. Melalui peristiwa inilah ALLAH telah memfardukan ibadah solat sebanyak lima waktu sehari. Ini membuktikan keagungan serta keistimewaan ibadah solat ini berbanding dengan ibadah-ibadah lain. Tidak seperti ibadah lain, kewajipan ibadah solat diwahyukan terus kepada Nabi Muhammad s.a.w pada malam berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj tanpa melalui perantaraan malaikat Jibril.

c. Peristiwa ini juga membuktikan bahwa Rasulullah s.a.w memilki status yang lebih tinggi berbanding rasul-rasul yang lain. Ketika Israk baginda telah menjadi imam kepada semua para Nabi dan Rasul, iaitu mengerjakan solat dua rakaat di dalam masjidilaqsa. Oleh itu, sewajarnya kita taat kepada ajarannya serta menghindari segala larangannya.

d. Rasulullah s.a.w juga telah diperlihatkan balasan ngeri yang dikenakan kepada penghuni neraka yang melakukan dosa-dosa besar seperti mengumpat dan manusia yang menyeru ke arah kebaikan namun dia sendiri tidak mengamalkannya.

e. Rasulullah s.a.w juga telah diperlihatkan keindahan syurga melalui peristiwa ini dan ia boleh dijadikan sumber motivasi untuk kita melakukan perkara-perkara yang makruf.

f. Melalui peristiwa ini juga kita dapat mempelajari nilai-nilai murni yang terdapat dalam diri para sahabat. Ketaatan serta keyakinan tanpa berbelah-bahagi kepada Rasulullah s.a.w jelas kelihatan di dalam jiwa mereka apabila menerima berita yang dianggap tidak munasabah oleh golongan musyrik Makkah. Ketika dikhabarkan berita ini walaupun dianggap tidak logik oleh golongan musyrikin, namun Abu Bakar r.a hanya menjawab:

"Sesungguhnya aku telah membenarkan baginda terhadap apa yang lebih jauh dari ini. Aku membenarkan baginda terhadap berita dari langit yang baginda bawa." - Hadis riwayat al-Hakim di dalam al-Mustadrak.

Jawapan daripada Abu Bakar al-Shiddiq tentang peristiwa ini menunjukkan keyakinan serta ketaatan tanpa berbelah-bahagi kepada baginda. Walaupun baginda telah lama wafat, namun umat Islam pada zaman ini masih boleh menunjukkan ketaatan yang sama sebagaimana amalan generasi para sahabat dengan mematuhi segala perintah Rasulullah s.a.w dan menghindari segala larangan. Selain itu, dia perlu mengamalkan segala sunnahnya dan menjauhkan segala bentuk amalan bidaah, syirik, khurafat dan perkara lain yang membawa kepada kekufuran.

Perkara-perkara yang telah penulis gariskan di atas merangkumi hal-hal berkaitan akidah, ibadah, muamalah serta akhlak yang amat penting dan ia memerlukan penjelasan yang berterusan terhadap umat Islam keseluruhannya dan bukan sekadar menanti setahun sekali, iaitu pada tarikh 27 Rejab.

Demikianlah beberapa perbahasan tentang amalan-amalan yang dianggap sunnah pada bulan Rejab. Kesimpulannya tidak ada dalil yang sah menunjukkan adanya amalan-amalan khusus seperti solat, puasa, umrah, zikir-zikir, bacaan istighfar tertentu, doa-doa sempena bulan Rejab. Hendaklah seluruh umat Islam menghindari amalan-amalan yang tidak pernah diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Sewajarnya kita tetap taat dalam mengikuti hanya amalan-amalan yang sabit daripada baginda s.a.w.. Ini adalah kerana setiap amalan yang tidak ada contohnya daripada baginda ianya tidak diterima sebagai ibadah. Sabdanya:

Barangsiapa yang mengada-adakan di dalam urusan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama) apa-apa yang tidak ada padanya, maka tertolaklah ia. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Sulh, no: 2697.

Barangsiapa yang melakukan satu amal yang bukan dari suruhan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama), maka tertolaklah ia. - Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Aqdhiyah, no: 1718.

Ahad, 28 Disember 2008

Memanfaatkan kelebihan Bulan Muharram..


Oleh : Abu Haaziq Adnan bin Ishak
Sumber: http://ceria.my/proquransunnah

Sungguh pantas masa berlalu. Tanpa disedari bulan Muharram kunjung tiba lagi. Tahun baru 1430 Hijriyah tahun ini mudah diingati kerana ketibaannya hampir serentak dengan tahun baru 2009 Masihi. Tanpa kita sedari juga sebenarnya usia kita semakin bertambah, rezeki kita juga semakin berkurangan, ajal semakin hampir dan kehidupan yang sebenar iaitu kehidupan akhirat juga semakin menghampiri kita.

Kehadiran bulan Muharram tahun ini sebaiknya kita mengambil manfaat sebaik mungkin kerana bulan ini mempunyai banyak kelebihannya. Sebab itu terdapat golongan yang ghairah beramal dalam bulan ini. Namun terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian dalam beribadat dalam bulan ini. iaitu ;

1.Melakukan Perubahan ke Arah Kebaikan

Dengan kata lain kita juga hendaklah melakukan hijrah. Hijrah di sini dengan maksud berubah daripada melakukan kejahatan kepada kebaikan, daripada berakhlak buruk kepada berakhlak mulia dan daripada tidak bertakwa kepada bertakwa kepada Allah. Hijrah sebegini akan terus berkekalan sehingga hari kiamat. Sabda Nabi saw : “Orang yang melakukan hijrah yang sebenar ialah yang meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah”. ( Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).
Sambutan Ma’al Hijrah yang diadakan dengan penuh semangat dan pelbagai acara akan menjadi sia-sia dan tidak berfaedah sekiranya ia tidak disusuli dengan perubahan sikap dalam diri setiap individu muslim ke arah yang lebih baik.

2. Berpuasa Sunat

Bulan Muharram merupakan salah satu daripada bulan-bulan haram. Berpuasa pada bulan ini pada dasarnya dijanjikan dengan pahala yang besar. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : “Puasa yang paling utama selepas Ramadan ialah bulan Allah,Muharram dan solat yang paling utama selepas fardu ialah ialah solat malam”.(Riwayat Imam Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, Baihaqi, Ahmad)
Hadis ini dengan jelas menyatakan keutamaan berpuasa pada bulan Muharram berbanding bulan-bulan lain selain Ramadan. Hadis ini juga menjadi hujah bahawa kita digalakkan berpuasa sunatpada bulan Muharram lebih banyak berbanding bulan-bulan lain.

Puasa bulan Muharram lebih lagi digalakkan pada hari ’Asyura iaitu pada 10 Muharram. Puasa ‘Asyura ini pada asalnya adalah wajib. Kemudian menjadi sunat setelah puasa Ramadan difardukan sebagaimana sabda rasulullah saw hadis riwayat Muawiyah ra berkata : aku mendengar Nabi bersabda : Hari ini adalah hari ‘Asyura tidaklah wajib kamu berpuasa tetapi saya berpuasa. Maka sesiapa yang mahu ia boleh berpuasa dan sesiapa yang tidak mahu ia boleh berbuka. ( Imam al-Bukhari dan Muslim).

Galakan berpuasa pada hari ‘Asyura ini berdasarkan hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim bahawa Ibn Abbas berkata : “Aku tidak melihat Rasulullah saw mengutamakan hari puasa yang dilebihkan atas hari lain kecuali hari ini, iaitu hari ‘Asyura dan bulan Ramadan”.

Berpuasa pada hari tersebut juga akan mendapat keampunan dosa setahun yang lalu sebagaimana hadis riwayat Abu Qatadah berkata bahawa Baginda saw ditanya tentang puasa ‘Asyura. Baginda menjawab :”Ia menghapuskan (dosa) setahun yang lepas”.( Riwayat Imam Muslim).

Terdapat sebahagian ulama yang berpendapat puasa pada hari ‘Asyura ini hendaklah dilakukan bersama sehari sebelumnya iaitu dinamakan juga dengan hari Tasu’a (hari kesembilan). Ini berdasarkan hadis hadis Ibn Abbas ra : “Ketika Rasulullah saw berpuasa pada hari ‘Asyura dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa, mereka berkata:Wahai Rasulullah saw Sesungguhnya hari itu adalah hari yang diagungkan oleh orang-orang Yahudi. Maka Nabi saw bersabda :”sekiranya aku masih hidup tahun hadapan, tentu aku akan berpuasa pada hari kesembilan”. ( Riwayat Imam Muslim)

Ada sebahagian golongan menyunatkan berpuasa pada hari 9,10,11 Muharram berdasarkan hadis Ibn Abbas : Hendaklah kamu perpuasa pada hari ‘Asyura dan hendaklah kamu menyalahi orang Yahudi padanya, berpuasalah sehari sebelum dan sehari selepasnya.

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan al-Bayhaqi. Namun begitu hadis ini tidak boleh dijadikan hujjah untuk mensyariatkan sesuatu amalan kerana hadis itu adalah da’if lagi mungkar seperti yang dikatakan oleh Imam al-syaukaniy dalam Nayl al-Awtar. Al-Albaniy juga menghukum hadis itu da’if.

Oleh itu kita boleh memilih sama ada hendak berpuasa hanya pada hari ‘Asyura atau hendak berpuasa dua hari berturutan iaitu pada hari Tasu’a dan ‘Asyura. Kedua-dua cara ini mempunyai sandaran dalil masing-masing daripada hadis yang sahih. Seseorang itu juga boleh berpuasa pada hari-hari dalam bulan ini tanpa ditetapkan hari tertentu berdasarkan umum hadis keutamaan bulan Muharram berbanding bulan-bulan yang lain.

3. Puasa Khas 1 Muharram dan Sembilan awal Muharram

Walaupun bulan Muharram mempunyai banyak keutamaan, Namun diingatkan bahawa terdapat sangat banyak hadis tentang kelebihan beramal dalam bulam Muharram ini bertaraf palsu dan mungkar yang tidak boleh diamalkan sama sekali kerana sabda Rasulullah saw riwayat Imam al-Bukhari :” Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan bukan daripada perintah kami maka amalan itu tertolak
( tidak diterima”).

Selain daripada puasa yang disebutkan di atas tiada lagi puasa khas yang lain seperti puasa khas 1 Muharram atau puasa khas Sembilan hari awal Muharram. Amalan ini berdasarkan hadis palsu iaitu;

1) Nabi bersabda :” Barangsiapa yang berpuasa pada akhir Zulhijjah dan hari pertama Muharram maka tidak telah mengkhatamkan tahun yang lalu dan memulakan tahun baru dengan puasa yang Allah jadikannya penghapus dosa selama lima puluh tahun. Hadis ini dikomentar oleh Ibn al-Jauziy sebagai palsu( al-Maudu’at).
2) Nabi bersabda :”Barangsiapa yang berpuasa sembilan hari dari awal maka Allah membina untuknya sebuah kubah yang luasnya satu batu persegi dan mempunyai empat buah pintu”.
( palsu,lihat al-Maudu’at, al-Fawaid)

Terdapat juga golongan yang menyunatkan amalan-amalan khas pada hari ‘Asyura seperti mandi, bersuci, solat khas malam ‘Asyura, memotong kuku, memakai wangian, memakai celak, menziarahi orang sakit, bersedekah, membuat bubur ‘Asyura dan banyak lagi amalan-amalan lain. Semua amalan tersebut dijanjikan dengan ganjaran-ganjaran yang tidak masuk akal. Amalan-amalan tersebut dihukum oleh ulama muhaqqiq sebagai bid’ah kerana tiada sandaran dalil yang sahih dari Rasulullah saw dan para sahabat ra. Bahkan upacara tersebut mencermin amalan Yahudi, Nasrani dan orang Quraisy zaman jahiliah dan perayaan Syiah Rafidhah sesudah kedatangan Islam. Imam mUslim meriwayatkan dari Abu Musa al-Asy’ariy katanya :” Adalah penduduk Khaibar berpuasa pada hari ‘Asyura dan mereka menjadikannya sebagai hari raya serta mereka memakaikan wanita-wanita mereka dengan perhiasan dan pakaian yang cantik-cantik.

Amalan-amalan di atas juga tidak pernah disunatkan oleh mana-mana imam empat mazhab.

4. Memasak Bubur ‘Asyura

Memasak bubur ‘Asyura juga telah sinonim dengan bulan ini. Memasak bubur ini tidak menjadi masalah sekiranya seseorang itu berkeinginan untuk menjamu sanak saudara dan orang ramai. Menjamu makan merupakan amal soleh dan menepati ajaran al-Quran dan sunnah. Ia jadi masalah bila ditetapkan hanya pada bulan Muharram, tidak boleh pada bulan yang lain. Lebih teruk lagi bila amalan ini disandaran kepada Rasulullah saw. Perkara ini merupakan satu pendustaan atas nama Nami Muhammad saw. Ada juga yang menyandarkannya kepada Nabi Nuh as. Semua kisah tersebut adalah cerita dongeng Bani Israil. Demikian ditegaskan oleh Imam Ibn Kathir ra dalam kitabnya Qashas al-Anbiya’.

5. Doa Awal Tahun

Berdoa merupakan satu ibadat dan perintah Allah SWT berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud : Berdoalah kamu kepadaKu, nescaya aku mustajab untuk kamu”.( Surah Ghafir ayat 60)
Begitu juga banyak hadis-hadis yang mendorong kita agar sentiasa berdoa. Sesiapa sahaja boleh berdoa pada awal Muharram dengan doa yang dikehendaki berdasarkan umum ayat al-Quran di atas. Mengadakan majlis khas dengan upacara khas dan dibaca doa khas pada awal tahun dan akhir tahun dengan anggapan akan dihapuskan dosa selama setahun perlukan dalil yang sahih daripada amalan Nabi saw atau para sahabat. Tapi ternyata tiada satu pun hadis Nabi saw atau atsar yang menunjukkan para sahabat mengamalkan doa khas Muharram. Mustahil akan ada hadis Nabi saw dalam perkara ini memandangkan penetapan tahun Hijriyyah ini ditentukan oleh Amir al-Mukminin Sayidina Umar bin al-Khattab ra iaitu setelah lama kewafatan Rasulullah saw.

Konklusinya, kita hendaklah berhati-hati dalam mengamalkan sesuatu amalan agar amalan kita sentiasa menepati sunnah Rasulullah saw. Beramal dengan hadis palsu dan hadis yang tidak sahih mengakibatkan amalan kita tidak diterima oleh Allah SWT. Alangkah beruntungnya seseorang yang kembali ke akhirat dalam keadaan amalannya yang diterima oleh Allah SWT dan alangkah malangnya seseorang yang mengadap Allah SWT, tiba-tiba mendapati amalannya ditolak. Fikir-fikirkanlah….

Rujukan utama : Kesempurnaan Ibadat Puasa ; Drs Abdul Ghani Azmi Hj Idris

Ahad, 6 Julai 2008

Etika yang dituntut ketika membaca al-Quran


Imam an-Nawawi rahimahullahu’anhu menjelaskan tentang etika yang dituntut ketika membaca al-Quran dan hukum-hukumnya di dalam kitabnya yang berjudul at-Tibyan. Sedangkan di sini dicantumkan perkara-perkara yang penting sahaja iaitu seperti berikut:

1. Bersikap ikhlas dalam membaca al-Quran dan mengadakan munajat (mendekatkan diri dengan cara berdoa) kepada Allah.

2.Membersihkan mulutnya atau menggosok gigi dengan kayu siwak atau yang sejenis dengannya.

3.Ketika membaca, hendaklah berada dalam keadaan suci daripada hadas kecil dan besar. Dibolehkan seseorang membaca al-Quran walaupun berada dalam keadaan berhadas kecil adalah disertai dengan syarat untuk berhati-hati agar tidak menyentuh mushaf . Dibolehkan bagi wanita yang sedang istihadhah pada ketika tertentu dengan ingatan bahawa dia sedang dalam keadaan bersih bersuci.

4. Diharamkan bagi sesiapa yang sedang dalam keadaan berjunub dan bagi wanita yang sedang mengalami haid untuk membaca al-Quran baik seluruhnya atau sebahagian ayatnya kecuali jika bahagian dari ayat tersebut merupakan zikir-zikir yang ditentukan di waktu pagi atau petang atau zikir-zikir mutlak yang mengandungi sebahagian ayat al-Quran. Akan tetapi, dibenarkan mereka itu untuk membaca al-Quran di dalam hati sahaja, tanpa diucapkan secara lisan dan juga dibenarkan bagi mereka itu untuk membaca al-Quran di dalam hati sahaja, tanpa diucapkan secara lisan dan juga dibenarkan bagi mereka untuk memandang mushaf tanpa menyentuhnya secara langsung.

5. Apabila seseorang yang sedang berjunub atau wanita yang sedang di dalam haid hendak bersuci akan tetapi tidak menjumpai air, maka hendaklah mereka bertayamum dan dibolehkan baginya untuk melaksanakan solat, membaca al-Quran dan ibadat yang lainnya selagi belum berhadas atau menemui air.

6. Disarankan supaya membaca al-Quran di tempat yang bersih dan disarankan membacanya di masjid. Ini kerana masjid merupakan tempat yang bersih dan mulia kedudukannya sebagai tempat ibadat. Ini adalah disebabkan kemungkinan dengan duduk di dalamnya, dia dapat melakukan iktikaf selanjutnya. Sudah semestinya hanya membaca al-Quran di tempat yang bersih dan suci.

7. Bagi para pembaca al-Quran disarankan ketika membacanya hendaklah mengadap kiblat, duduk dengan khusyuk tenang dan merendahkan kedudukan kepala. Akan tetapi dibolehkan juga membacanya sambil meniarap atau berbaring atau berada dalam kedudukan lain dan masih mendapat pahala. Namun begitu, pahala itu tidaklah sama dengan kedudukan yang pertama tadi.

8. Jika hendak memuliakan lagi, maka ketika membaca al-Quran disarankan agar dimulakan dengan beristiadza terlebih dahulu Ini merupakan pendapat majoriti para alim ulama. Sewajarnya juga membaca bismillah pada setiap bacaan pertama dari setiap surah kecuali surah at-Taubah.

9.Apabila hendak mula membaca al-Quran maka hendaklah terlebih dahulu menumpukan keinginannya untuk khusyuk dalam membaca dan untuk merenungkan kandungannya dan makna di dalamnya.

10. Sewajarnya seseorang yang hendak membaca al-Quran dapat merasakan perasaan takut kepada Allah sesuai dengan sabda Nabi Sallallahu’alaihiwasallam yang bererti “Sesungguhnya manusia yang paling baik suaranya ketika membaca al-Quran, adalah jika kamu mendengarnya membaca, kamu menyangka bahawa dia takut kepada Allah.” (Ibn Majah,hadith ke 1339,juz 1, hal 425; dinyatakan sahih oleh al-Albani dalam kitab Sahih Ibn Majah, hadith ke 1101, juz 1, hal 2254). Caranya adalah dengan memperhatikan kandungan al-Quran, baik amarannya, perjanjian dan persetujuannya. Jika kesedihan dan tangisan belum dapat dirasakan, maka tangisilah ke atas kekerasan hatinya kerana perkara itu merupakan bencana yang paling besar.

11. Orang yang hendak membaca al-Quran itu hendaklah melafazkan bacaannya dengan tartil (perlahan-lahan). Ini kerana para ulama telah bersepakat atas saranan untuk membaca dengan tartil berdasarkan firman Allah Subhanahuwataala yang berikut ini yang bermaksud:

“Dan bacalah al-Quran dengan perlahan-lahan (tartil)”
(Surah al-Muzammil:4)

Bacaan yang dilakukan dengan tartil itu sangat mengagumkan (sedap didengar) dan pengaruhnya pada hati lebih mendalam daripada membacanya secara cepat atau terburu-terburu.

12. Disarankan juga ketika membaca, apabila mendapati ayat yang mengandungi ungkapan rahmat maka hendaklah meminta kurnia. Jika mendapati ayat yang mengandungi akan seksanya, maka dia hendaklah meminta perlindungan daripada keburukan di dunia dan seksa akhirat. Apabila mendapat bacaan ayat yang mensucikan Allah Subhanahuwataala maka hendaklah dia mensucikanNya dengan berkata Maha Suci Allah atau betapa besar keagungannya atau lafaz lain yang semakna dengannya.

13. Hendaklah dia memuliakan dan membesarkan (kedudukan) al-Quran dengan tidak bermain-main ketika membacanya baik dengan tertawa, membuat pergaduhan, bertengkar atau bersenda gurau. Hal ini berdasarkan pada firman Allah Subhanahuwataala berikut ini yang bermaksud:

”Dan apabila dibacakan (kepadamu) al-Quran, maka dengarkanlah baik-baik dan perhatikanlah dengan tenang agar kami mendapat rahmat.’
(surah al-A’raf:204)

14. Tidak dibenarkan membaca al-Quran selain menggunakan bahasa al-Quran, baik bahasa yang digunakan itu baik atau tidak baik pada ketika menunaikan solat atau di luar solat.

15. Tidak dibenarkan membaca al-Quran selain dengan cara bacaan yang tujuh yang sangat mutawatir dan dilarang membacanya dengan bacaan yang diluar ketentuan. Apabila seseorang membaca al-Quran dengan salah satu cara bacaan yang mutawatir, maka hendaknya dia menyempurnakan bacaannya dengan cara itu selagi dia tidak berpindah kepada ayat yang lain.

16. Hendaklah membaca menurut susunan mushaf, baik di dalam solat ataupun di luar solat. Ini kerana ketertibannya itu mendatangkan hikmah yang besar.

17. Membaca al-Quran secara langsung dari mushafnya adalah lebih baik daripada membaca dengan hafalan tanpa mushaf kecuali ketika menunaikan solat. Ini adalah kerana, melihat mushaf al-Quran itu sendiri merupakan ibadat yang disyaratkan. Oleh sebab itu, adalah sebaiknya seseorang yang membaca al-Quran menyatukan antara membaca dan melihat mushafnya secara bersama-sama kecuali jika membaca dengan hafalan membuatkan dirinya lebih khusyuk.

18. Disarankan untuk membuat halaqah (secara berkumpulan) dalam membaca dari tadarus al-Quran. Perkara ini berdasarkan kepada sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang bererti:

”Berkumpulnya suatu kami di dalam rumah dari rumah-rumah Allah (masjid) kerana membaca kitab Allah (al-Quran) dan saling bertadarus (belajar) antara mereka dengan ketenangan akan turun atas mereka, dinaungi rahmatNya, para malaikat mengelilingi (menghormati) mereka dan Allah menyebutkan mereka sebagai orang-orang yang berkedudukan mulia di sisiNya”.
(Abu Dawud, hadith ke 1455, juz 2, hal 1148; Imam Albani mensahihkannya dalam kitab Sahih Sunan Abu Dawud, hadith ke 1291, juz 1 hal 272.)

19. Disarankan untuk menguatkan suara (dengan jelas) ketika membaca al-Quran; jika dia tidak takut mengganggu orang lain ataupun merasa riak.Ini kerana membaca ayat-ayat al-Quran dengan suara yang jelas dapat membangkitkan semangat dalam hati, menyatukan keinginan dan menukarkan pendengaran menjadi renungan pada bacaannya. Sebagaimana ditegaskan dalam sabda Nabi Sallallahu’alaihiwasallam berikut ini yang bererti:

”Allah Subhanahuwataala tidak memperkenankan melalui lisan Nabi-Nabinya, suara yang sedap ketika membaca al-Quran, jika perkara itu akan dapat mengacaubilaukan makna yang terkandung dalamnya ( bagi yang mendengarkan).”
(Imam Bukhari dan ditaklik dalam kitab Fathul Bari, juz 13, hal 572, Abu Dawud, hadith ke 1486, juzuk 2 hal 155; Imam Nasai, hadith ke 1342. Imam al-Albani mensahihkannya dalam kitab Sahih Ibn Majah, hadith ke 1103 dan kitab Sahih al-Jami’ hadith ke 3580.

21. Disarankan agar meminta untuk membaca dengan indah, bagi yang sedap suaranya untuk didengar. Hal ini merupakan sunnah Nabi Sallallahu’alahiwasallam sesuai dengan apa yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas radhiyallahu’anhu ” Ibn Mas’ud radhiyallahu’anhu berkata, bahawa Nabi Sallallahu’alaihiwasallam berkata kepadaku: Bacalah untukku al-Quran ini. Aku menjawab: Bagaimana aku akan membacakan untukmu tentang sesuatu (al-Quran) yang diturunkan kepadamu? Maka beliau berkata: Sungguh aku amat ingin mendengarnya dari selain daripada diriku. Lalu aku (ibn Mas’ud) membaca Surah an-Nisa’ ayat 41 hingga pada ayat yang berbunyi: Maka bagaimanakah halnya orang kafir nanti, apabila Kami mendatangkan seseorang sebagai saksi (Rasul) dari tiap-tiap umat dan Kami mendatangkan kamu (Muhammad) sebagai saksi atas mereka itu (sebagai umatmu). Kemudian beliau berkata kepadaku: Berhenti atau sebentar! Seketika aku menyaksikan dari kedua mata beliau bercucuran air mata.” (Imam Bukhari hadith ke 5055 sebagaimana disebutkan dalam kitab Fathul Bari, juz 8, hal 717; Imam Muslim, hadith ke 800, juz 1, hal 551)

22. Kebanyakan alim ulama menyarankan agar segala majlis ilmu (majlis ta’lim) dimulai pembukaannya dengan bacaan al-Quran, yang dibawakan oleh seorang pembaca yang bersuara merdu.

23. Adalah makruh untuk membacanya (al-Quran) pada tempat dan kedudukan-kedudukan tertentu seperti pada masa rukuk dan sujud ketika membaca tahiyat dan yang lainnya dari gerakan-gerakan solat kecuali ketika berdiri. Makruh juga membaca lebih dari surah al-Fatihah bagi makmum atau jika ia membacanya pada ketika mendengar Imam membacanya . Makruh juga membacanya ketika mengantuk dan mengikut membacanya pada ketika mendengar khutbah.

24. Tidak disarankan bagi para pembaca untuk memulai dan mengakhiri bacaan al-Quran menurut tanda-tanda ¼, 1/10 dan tanda zuj jika maknanya (ketika berhenti) belum sempurna atau jika ia terikat dengan bacaan berikutnya.

25. Tidak disarankan untuk membaca surah tertentu pada kesempatan-kesempatan (peristiwa) tertentu tanpa adanya dalil yang sahih.

26. Jika ia mendengar seseorang mengucapkan salam, sedangkan ia sedang membaca al-Quran, maka seharusnya ia berhenti sejenak dari bacaannya kemudia menjawab salamnya. Seandainya ada orang lain yang bersin dan ia sedang membaca al-Quran bukan ketika mengerjakan solat, kemudia orang yang bersin tadi mengucapkan kata Alhamdulillah (segala puji bagi Allah), maka disarankan bagi yang membaca al-Quran berhenti sejenak dan mendoakannya dengan membaca rahimakallah (semoga Allah menyayangimu). Seandainya pembaca al-Quran mendengarkan suara azan, maka sewajarnya dia menghentikan bacaannya dan menjawab panggilan muadzin.

27. Apabila sedang membaca dan mendapat ayat sajdah tilawah maka hendaknya pada ketika itu ia melakukan sujud tilawah.

Dipetik daripada buku ”Kekasih Allah yang sejati” hasil terjemahan tulisan Ibnu Qayyim al-Jauziyah dengan penambahan dan pengurangan.

Selasa, 4 Mac 2008

Solat dengan ilmu..




Alhamdulillah, syukur tidak terhingga kerana pada hari Ahad yang lalu bersamaan 2 Mac 2008 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) saya berpeluang menjalani Kursus Kesempurnaan Solat & Muhasabah Diri oleh Ustaz Zaharuddin Hj Abd Rahman bersama-sama sahabat saya Shakiroh Yaakob. Selama ini saya memang menginginkan untuk mengikuti kursus solat bagi memantapkan solat saya yang tak seberapa tu. Subhanallah.. 'Sambal dicita nasi lemak mendatang' sebabnya saya juga memang teringin sesangat nak mendengar ceramah Ustaz Zaharuddin yang saya kagumi dari segi ilmu dan ketawaddukkannya. Mendengar ceramah Ustaz pada kursus tersebut memang tidak membosankan. Rupa-rupanya Ustaz Zaharuddin ni lawak betul. Hehe. Baiklah, di sini ada beberapa pengajaran yang dapat saya kongsi bersama sahabat-sahabat. Semoga bermanfaat.

Mengapakah solat amat penting?

• Solat merupakan amalan pertama yang akan dihisab di hari kiamat kelak.
• Solat asas kekuatan hubungan individu dengan Allah
• Solat mencegah perbuatan dosa.
• Solat asas kesempurnaan amalan lain.
• Solat yang terbaik adalah yang dilaksanakan dengan ilmu bukannya ikutan tanpa ilmu.


Sepanjang kursus solat tersebut, Ustaz telah mengadakan survey terhadap beberapa tatacara solat di kalangan peserta. Hasil daripada survey tersebut menunjukkan secara tidak sedar kita kadangkala melakukan tatacara solat berdasarkan ”mazhab kita” sendiri tanpa ada panduan dari mana-mana dalil-dalil mahupun daripada ijtihad ulama’. Masya Allah, solat yang dibuat tanpa ilmu lebih mendapat dosa sebenarnya. Oleh itu sahabat-sahabat marilah kita bersama-sama cek balik solat kita kerana ia adalah perkara pertama yang bakal ditanya di akhirat kelak.


Khusyuk dalam solat

Di dalam solat, khusyuk adalah perkara penting kerana ia merupakan jiwa dan ruh kepada solat samada dari segi khusyu’ hati dan khusyu’ anggota. Firman Allah Subhanahuwataala:
Maksudnya: “Sesungguhnya telah berjayalah orang-orang Mukmin yang khusyu’ di dalam solatnya” (Al-Mukminun: 1, 2)

Apa itu khusyu’ hati dan anggota?

Khusyu’ hati:
• Merasakan pengawasan Allah Subhanahuwataala serta kehebatannya.
• Merasai kemanisan di dalam solat yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata.
• Ketenangan hati dan pemikiran semasa solat.
• Pemfokusan pemikiran terhadap bacaan dan merasai pandangan Allah Subhanahuwataala.

Khusyu’ anggota:
• Tidak berpaling wajah dari Qiblat
• Tidak bergerak-gerak yang banyak yang bukan dari perbuatan solat yang boleh menghilangkan kekhusyukkan hati.


Akhir sekali, kursus ini juga semakin menyedarkan saya tentang hari kiamat, azab Allah dan hari kematian. Pada penghujung kursus, Ustaz telah melakukan satu penutupan yang memberi kesan kepada hati dan minda kami semua. Ada dikalangan peserta yang menangis hasil daripada tazkirah yang diberikan. Segala puji bagi Allah yang telah memberi hidayah kepada kami. Marilah bersama-sama kita berdoa kepada Allah agar kita sentiasa diberi hidayah dan dinaungi dengan rahmat-Nya. Selamat memantapkan
solat anda....!

Jumaat, 5 Oktober 2007

Peluang Last minute dan lailatul qadar



Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/

Sedar tidak sedar, kita telah menamatkan separuh bulan Ramadhan, berbaki lagi 15 hari sahaja. Allah s.w.t sahaja yang mengetahui samada prestasi kita dalam 15 hari yang berlalu adalah cemerlang atau temberang. Kita juga mungkin mempunyai sedikit 'clue' tentang prestasi kita sendiri.

Semenjak dua menjak ini soalan-soalan agama yang sampai kepada saya menunjukkan minat orang kepada ilmu Islam secara agak luar biasa, mungkin kerana ia merupakan bulan Syaitan dibelenggu. Alhamdulillah. Kita mengharapkan prestasi dan minat yang sama akan berterusan setelah tamatnya Ramadhan nanti.

Tidak terkecuali juga, soalan-soalan yang menggambarkan agak keringnya umat Islam kini dari ilmu Islam. Dari bentuk soalan-soalan yang diutarakan, seseorang pasti dapat mengandaikan tahap ilmu dan kefahaman seseorang.

Saya tiada masalah dengan soalan sebegini, cuma adakalanya merasa sayu dengan pengetahuan si penanya. Jangan bimbang saya tidak kenal anda, tidak perlu merasa malu. Lebih penting adalah kesungguhan dan minat yang masih berbaki untuk pelajari, ia jauh lebih baik dari menjadi orang yang langsung tidak mengendahkan keredhaan dan ketetapan hukum yang ditentukan Islam. Tahniah.

Pendekatan Last Minute & Sujud Akhir

"Orang kita memang suka benda-benda 'last minute' ni" kata seorang rakan saya
"Study last minute"
"Buat kerja suka dan lebih bersemangat bila last minute"
"Solat last minute, sujud pun nak tunggu last minute"

Sehingga timbul kefahaman yang meluas di kalangan masyarakat bahawa sujud terakhir dalam solat adalah waktu yang paling maqbul doa.

Setakat pencarian saya dalam ensaiklopedia gabungan puluh ribuan kitab Fiqh yang muktabar, Tafsir dan Hadith, tidak ada sebarang bukti dari Al-Quran atau hadith nabi atau yang menyatakan doa dalam sujud terakhir adalah yang paling maqbul.

Nabi hanya beritahu bahawa ketika sujud doa adalah maqbul, tetapi tiada dikhaskan sebagai 'Keistimewaan Sujud Terakhir' . Jika ada yang tahu, haraplah memaklumkan sumber sohihnya.
Apa yang ada adalah sabda baginda Nabi s.a.w ketika menyebut :
وَأَمَّا السُّجُودُ فَاجْتَهِدُوا في الدُّعَاءِ فَقَمِنٌ أَنْ يُسْتَجَابَ لَكُمْ
Ertinya : Dan adapun sujud, maka berusahalah memperbanyakkan doa kerana ia amat hampir dan boleh mendapat kemustajaban bagimu" ( Riwayat Muslim, 1/348 )

J ika melihat huraian dan syarahan hadis ini oleh Imam An-Nawawi dan Ibn Hajar, kita akan mengerti bahawa sujud yang maqbul itu adalah semua jenis sujud terutamanya dalam solat fardhu. Tiada sebarang pengkhususan kepada sujud akhir.

Wallahu 'alam, tiada juga dijumpai dalam kitab Fiqh yang muktabar akan cadangan sujud akhir ini. Jika benar-benar tiada, justeru ia mungkin pengaruh tabiat 'last minute' kot..sehingga terbawa-bawa dalam ibadah.

Memang benar tidak semua jenis pendekatan 'last minute' itu tidak tepat, salah, terkeji dan tidak berasas. Dalam sesetengah keadaan ia terpaksa dilakukan, tapi yang dirisaukan adalah kualitinya mungkin boleh tergugat.

Kini, kita ada peluang kita untuk meraih ganjaran dan hasil Ramadhan semakin sampai ke minit terakhir. Bagi memastikan ramai yang berjaya, sayangnya Allah s.w.t kepada kita yang lemah ini, diberinya lagi peluang minit-minit terakhir ini dengan sesuatu yang lebih istimewa. Ia bertujuan memberikan motivasi kepada kita agar mampu menjadi insan bertaqwa serta dengan segera membina tembok iman yang kukuh sebelum keluar dari bulan mulia Ramadhan.
Peluang ibadat dalam 10 malam terakhir Ramadhan telah sedai diketahui ramai. Pengkhususan berkenaan kehebatan dan tawarannya juga bukan lagi ganjil dari minda umat Islam sedunia.

Kehebatan Malam Al-Qadr
Dalam tulisan ringkas ini, cuba sama-sama kita hayati beberapa keistimewaan Laylatul Qadar seperti berikut :-
1) Malam berkat yang di turunkan padanya Al-Quran (secara sepenuhnya dari Lawh Mahfuz ke Baytil Izzah di langit dunia sebelum diturunkan kepada Nabi SAW secara berperingkat) ;
Justeru ia disifatkan sebagai malam penuh berkat dalam ayat 3 surah ad-Dukhaan. Pandangan ini adalah sohih dari Ibn Abbas, Qatadah, Sai'd Ibn Jubayr, ‘Ikrimah, Mujahid dan ramai lagi. (Tafsir Al-Baidawi, 5/157 ; Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 16/126 )
2) Di tuliskan pada malam tersebut "qadar" atau ketetapan bagi hidup, mati, gembira, rezeki, sihat, sakit dan apa jua berkaitan qadar manusia dan destinasi mereka pada tahun itu.
Ini diambil dari firman Allah s.w.t :-

فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ أَمْرًا مِّنْ عِندِنَا إِنَّا كُنَّا مُرْسِلِينَ
Ertinya : Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah, urusan yang besar dari sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah Yang mengutus rasul-rasul ( Ad-Dukhan : 4-5)
Imam At-Tabari menyebut bahawa pada malam itu, diputuskan hal ajalnya seseorang, rezekinya, kejadiannya. Malah di malam tersebut juga, ditentukan siapa yang berkahwin dengan siapa, nama siapa yang termasuk dalam senarai kematian pada tahun berikutnya, apakah musibah yang akan menimpa dan lain-lain. Ia juga yang dihuraikan oleh Imam Qatadah, Mujahid dan Al-Hassan(Tafsir At-Tabari, 25/108 )

Imam Al-Qurtubi mencatatkan
قال بن عباس يحكم الله أمر الدنيا إلى قابل في ليلة القدر ما كان من حياة أو موت أو رزق
Ertinya : Berkata Ibn Abbas, Allah s.w.t menghakimi atau menentukan urusan untuk dunia apabila tibanya Laylatul Qadar, dari segala urusan tentang kehidupan (hambanya) atau kematian atau rezeki (Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 16/126)
Demikian juga yang difahami dari apa yang disebut oleh Ibn Abbas. (Tafsir Ibn Kathir, 137/138). Imam An-Nawawi ada menghuraikan maksud panjang bagi hal ini. (Syarah Sohih Muslim, 8/57). Menurut pandangan yang lain qadar juga membawa bermaksud mulia atau agung.

Adakah kita sudah untuk meninggal dunia hari ini atau sebentar lagi?
Adakah merasa takut untuk menunggu kehadirannya?

Saya selalu cuba menghadirkan perasaan dan persoalan ini dalam minda saya, terutamanya ketika memandu kereta dan menaiki kapal terbang. Terbayang tayar meletup dan kereta terhumban, atau kapal terbang rosak dan menunggu maut hadir sebagaimana yang saya kerap dan suka saya lihat perbincangan mengenainya di dalam rancangan 'Air Crash' terbitan National Geogharphic Channel.

Jika belum merasa sedia, maka apakah sebabnya? Adakah umur yag diberikan belum mencukupi?, atau aqal belum sempurna berfikir untuk menyiapkan persediaan.? Bukankah kita merupakan insan normal yang punyai aqal sihat, malah kita amat marah digelar 'bodoh' oleh orang lain.

Lantas, apakah lagi alasan yang ingin kita sebutkan? Adakah kerana terlalu sibuk mengejar dunia dan leka dengan kenikmatan sementaranya, sehingga tiada masa memikirkan ibadah dan mengetahui perkara halal serta haram
.
Justeru, malam Al-Qadr boleh menjadi satu peluang dan ruang untuk berdoa memanjangkan umur dalam ibadah, amal soleh dan rezeki yang baik. Berusahalah.

Sama-sama kita hidupkan malam-malam akhir Ramadhan dengan dengan beribadat sehabis mungkin bagi memastikan yang terbaik buat destinasi hidup kita.

Hanya beberapa hari sahaja untuk bersengkang mata dan melawan nafsu tidur dan rehat. Jika kita punyai cuti yang agak panjang sebelum raya, habiskan ia dengan bacaan Al-Quran dan fahami ertinya. Nafsu 'shopping' dan rehat pasti akan menganggu. Lawani ia, hanya beberapa hari sahaja, paling panjang 10 hari sahaja.

3) Malam ini terlebih baik dari seribu bulan untuk beribadat.
Perlu difahami bahawa para ulama berbeza pandangan dalam pengertian seribu bulan kepada pelbagai takwilan. Cuma Imam At-Tabari selepas membawakan hampir semua pendapat-pendapat semua pihak ia mentarjihkan dengan katanya :-
وأشبه الأقوال في ذلك بظاهر التنزيل قول من قال عمل في ليلة القدر خير من عمل ألف شهر ليس فيها ليلة القدر
Ertinya : Pendapat yang paling tepat dari zahir teks nas yang diturunkan adalah pendapat yang mengatakan erti Seribu bulan adalah "beramal di laylatu Qadr sama dengan amalan seribu bulan yang tiadanya laylatul Qadr ( selian bulan Ramdhan) ( At-Tabari, 30/259)
Imam Malik dalam al-Muwatta' membawakan satu hadis Nabi s.a.w yang memberi makna seribu bulan itu adalah gandaan sebagai ganti kerana umur umat zaman ini yang pendek berbanding zaman sebelum Nabi Muhammad SAW yang amat panjang seperti Nabi Nuh as. (Al-Muwatta, no 698, 1/321 ; Al-Jami' Li Ahkamil Quran, Al-Qurtubi, 20/133 ; Syeikh Atiyyah Saqar, Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, dengan pindaan).

4) Pada malam itu, turunnya para Malaikat dan Ruh (Jibrail as).
Hal ini disebutkan di dalam al-Quran dari surah al-Qadr. Manakala, dalam sebuah hadith disebutkan bahawa pada malam tersebut, malaikat akan turun dan berjalan kepada seluruh individu yang sedang beribadat secara berdiri, duduk, bersolat, berzikir, serta memberi salam kepada mereka dan mengaminkan doa mereka maka Allah akan mengampunkan mereka kecuali empat kumpulan : Peminum arak, penderhaka ibu bapa, pemutus siltarurrahmi dan individu yang sedang bermusuhan.

5) Malam itu juga disebutkan sebagai malam yang sejahtera.
Hinggakan Syaitan juga tidak mampu untuk melakukan kejahatan dalamnya. (Tafsir Ibn Kathir, 4/531 ; Al-Qurtubi, 20/134 ) . Sejahtera dan keberkatan ini akan berterusan sehingga naik fajar dan bukannya pada saat tertentu sahaja. Hal ini juga di sebutkan dari firman Allah dalam surah al-Qadr.

6) Diampunkan dosa terdahulu bagi sesiapa yang menghidupkannya dengan iman, ikhlas dan mengharap redha Allah;
Ia berdasarkan hadith sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim. (Fath al-Bari, 4/251)
Hidup kita adalah pendek, panjangkan ia dengan amal jariah dan amalan soleh melebihi seribu bulan.

Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
http://zaharuddin.net/
15 Ramadhan 1428 H
27 September 2007

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails