Ahad, 6 Julai 2008

Sayangilah keluarga kita..



Firman Allah Subhanahuwataala:

“Maka sembahlah olehmu (hai orang-orang musyrik) apa yang kamu kehendaki selain Dia). Katakanlah: Sesungguhnya orang-orang yang rugi ialah orang-orang yang merugikan diri mereka sendiri dan keluarganya pada hari kiamat”. Ingatlah yang demikian itu adalah kerugian yang nyata.”
(Az-zumar:19)



Berdasarkan kepada ayat di atas ia menunjukkan kepada kita betapa pentingnya kita menyelamatkan diri kita serta ahli keluarga kita daripada azab di akhirat sana. Oleh itu, janganlah kita termasuk di kalangan orang yang berada dalam kerugian.

Kita selalu diseru untuk menyayangi keluarga kita melalui pelbagai kempen. Ini merupakan langkah yang begitu baik sekali. Walaupun begitu kita sebagai orang Islam yang mengetahui adanya kehidupan hari akhirat, syurga dan neraka perlu memahami maksud sayangi keluarga dengan lebih jauh.

Salah satu cara untuk menunjukkan kasih sayang kita adalah dengan sentiasa meluangkan masa bersama-sama keluarga. Ya benar sekali. Walaupun begitu adakah masa yang banyak diluangkan oleh kita adalah masa yang berkualiti ataupun sekadar tinggi kuantitinya? Fikir-fikirkan..

Sayangilah ahli keluarga kita dengan sentiasa mengingatkan mereka supaya tidak terjebak ke arah maksiat serta membimbing mereka ke arah jalan yang benar. Ini dapat dilakukan dengan pelbagai cara antaranya menunjukkan tauladan yang baik, solat jemaah, menonton cd agama, bermuzakarah, menghantar sms tazkirah, menghadiahkan buku-buku agama dan sebagainya.

Walaupun begitu, semua perkara tersebut mestilah dilakukan dengan berhati-hati terutama terhadap orang yang lebih tua daripada kita seperti ibu bapa, kakak ataupun abang. Benda sebegini juga memerlukan kesabaran yang tinggi. Mereka mungkin tidak akan dapat berubah serta merta. Ianya perlu dilakukan secara berterusan dengan harapan yang tidak pernah putus kepada rahmat Allah. Apa yang penting ialah usaha kita yang tidak henti-henti untuk menyelamat keluarga yang disayangi daripada diseksa dengan seksaan yang tidak dibayangkan oleh akal manusia. Hasilnya kita berserah kepada Allah Subhanahuwataala.

Cuba kita bayangkan jika ada di antara ahli keluarga kita yang ditimpa kesusahan di dunia ini. Sudah tentu hati kita resah dan tidak menentu memikirkan keadaan mereka. Jadi perasaan begini juga perlu ada pada diri kita dalam memikirkan tingkah laku mereka yang boleh menjadi sebab mendapat azab neraka yang dasyat itu. Janganlah kerana sayangkan mereka, kita menuruti segala kemahuan mereka yang dapat membinasakan mereka di akhirat kelak. Umpamanya membenarkan adik kita bergaul bebas dengan bukan muhrim ataupun memberi duit kepadanya untuk membeli baju yang tidak menutup aurat. Sayangilah mereka dengan kasih sayang yang dapat membawa mereka ke syurga.

Saya juga menyeru diri saya dan anda semua agar tidak melupaka keluarga dalam berdakwah kerana mereka adalah keutamaan kita. Buatlah stail dan fesyen dakwah yang mana kita ingin buat kepada keluarga kita asalkan ia tidak bertentangan dengan syarak supaya kita tidak termasuk di kalangan orang yang rugi di akhirat kelak. Akhir kata daripada saya, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails