Alhamdulillah, syukur tidak terhingga kerana pada hari Ahad yang lalu bersamaan 2 Mac 2008 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) saya berpeluang menjalani Kursus Kesempurnaan Solat & Muhasabah Diri oleh Ustaz Zaharuddin Hj Abd Rahman bersama-sama sahabat saya Shakiroh Yaakob. Selama ini saya memang menginginkan untuk mengikuti kursus solat bagi memantapkan solat saya yang tak seberapa tu. Subhanallah.. 'Sambal dicita nasi lemak mendatang' sebabnya saya juga memang teringin sesangat nak mendengar ceramah Ustaz Zaharuddin yang saya kagumi dari segi ilmu dan ketawaddukkannya. Mendengar ceramah Ustaz pada kursus tersebut memang tidak membosankan. Rupa-rupanya Ustaz Zaharuddin ni lawak betul. Hehe. Baiklah, di sini ada beberapa pengajaran yang dapat saya kongsi bersama sahabat-sahabat. Semoga bermanfaat.
Mengapakah solat amat penting?
• Solat merupakan amalan pertama yang akan dihisab di hari kiamat kelak.
• Solat asas kekuatan hubungan individu dengan Allah
• Solat mencegah perbuatan dosa.
• Solat asas kesempurnaan amalan lain.
• Solat yang terbaik adalah yang dilaksanakan dengan ilmu bukannya ikutan tanpa ilmu.
Sepanjang kursus solat tersebut, Ustaz telah mengadakan survey terhadap beberapa tatacara solat di kalangan peserta. Hasil daripada survey tersebut menunjukkan secara tidak sedar kita kadangkala melakukan tatacara solat berdasarkan ”mazhab kita” sendiri tanpa ada panduan dari mana-mana dalil-dalil mahupun daripada ijtihad ulama’. Masya Allah, solat yang dibuat tanpa ilmu lebih mendapat dosa sebenarnya. Oleh itu sahabat-sahabat marilah kita bersama-sama cek balik solat kita kerana ia adalah perkara pertama yang bakal ditanya di akhirat kelak.
Khusyuk dalam solat
Di dalam solat, khusyuk adalah perkara penting kerana ia merupakan jiwa dan ruh kepada solat samada dari segi khusyu’ hati dan khusyu’ anggota. Firman Allah Subhanahuwataala:
Maksudnya: “Sesungguhnya telah berjayalah orang-orang Mukmin yang khusyu’ di dalam solatnya” (Al-Mukminun: 1, 2)
Apa itu khusyu’ hati dan anggota?
Khusyu’ hati:
• Merasakan pengawasan Allah Subhanahuwataala serta kehebatannya.
• Merasai kemanisan di dalam solat yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata.
• Ketenangan hati dan pemikiran semasa solat.
• Pemfokusan pemikiran terhadap bacaan dan merasai pandangan Allah Subhanahuwataala.
Khusyu’ anggota:
• Tidak berpaling wajah dari Qiblat
• Tidak bergerak-gerak yang banyak yang bukan dari perbuatan solat yang boleh menghilangkan kekhusyukkan hati.
Akhir sekali, kursus ini juga semakin menyedarkan saya tentang hari kiamat, azab Allah dan hari kematian. Pada penghujung kursus, Ustaz telah melakukan satu penutupan yang memberi kesan kepada hati dan minda kami semua. Ada dikalangan peserta yang menangis hasil daripada tazkirah yang diberikan. Segala puji bagi Allah yang telah memberi hidayah kepada kami. Marilah bersama-sama kita berdoa kepada Allah agar kita sentiasa diberi hidayah dan dinaungi dengan rahmat-Nya. Selamat memantapkan solat anda....!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan