Selasa, 26 Ogos 2008

Tiga golongan dahulu, kini dan selamanya...


Oleh: Fathoni

Bismillahirrahmanirrahim.

Ramadhan datang lagi. Bagi seorang yang mengerti apa itu Ramadhan penantiannya ibarat menanti kekasih yang telah lama dirindui. Lain pula bagi mereka yang kurang faham, penantiannya seperti menunggu satu hukuman kerja berat selama sebulan. Di sini penulis tidak berminat untuk mengupas lebih mengenai sejarah puasa atau pun hukum puasa dan amalan-amalan bulan puasa. Cuma berminat untuk melontarkan satu pandangan dengan harapan lontaran itu dapat mengejutkan minda yang mungkin berada ditapuk yang lama. Pandangan yang menuntut satu perubahan. Bukan perubahan secara mendadak tetapi berubah kearah yang lebih baik secara berdikit-dikit. Laksana berlatih mengangkat beban, dimulakan dengan yang ringan dahulu barulah diangkat yang berat.



Golongan Tidur

Mereka ini tidak boleh disalahkan apabila telah sampai nasihat kepadanya. Ibarat orang tidur yang tengah dibuai mimpi masakan mengerti apa yang diucapkan oleh orang yang jaga. Mereka ini bukan tidak mahu mendengar apa yang di sampaikan tetapi keadaan yang menjadikan mereka terus berada didalam khayalan mimpi. Oleh itu mereka perlu di kejutkan. Bukan dengan jerkahan atau jeritan yang kuat tetapi dengan cara yang penuh berhikmah. Sebab selalunya jika dengan kekasaran mengejutkan orang yang sedang tidur, mereka ini tidak mahu bangun dan jika silap gaya tukang kejut dihambatnya. DAHULU pengertian menahan diri semasa berpuasa golongan ini tidak lebih dari makan dan minum. Tidak solat tak mengapa, tidak menutup aurat tidak mengapa, mengumpat tidak mengapa yang penting puasa jangan tinggal. Bukankah Islam itu melitupi seluruh gerak geri seorang muslim itu? Apa yang menghalang anda untuk menunaikan kewajipan yang lain? Sebagaimana anda rasa tidak selesa jika tidak berpuasa di khayalak ramai, begitulah juga anda patut rasa kurang selesa jika anda tidak solat, tidak menutup aurat dan sebagainya. KINI jadikanlah Ramadhan ini satu titik permulaan untuk anda berubah. Persetankanlah orang-orang yang suka mengeluarkan nada sumbang apabila melihat anda berubah ke arah yang baik. Buangkanlah sikap ego anda, sikap yang masih lagi berkira-kira mahu berubah, sikap yang mahu menunggu bila datangnya ‘seru’ atau pun sikap satu hari nanti aku akan berubah. Jika anda masih mencari alasan yang terbaik untuk berubah, inilah ketikanya. Tidak perlu selepas kemalangan menimpa, tidak perlu menunggu musibah melanda, bila ditanya,” Hai! Engkau ni dah lain la sekarang” jawaplah dengan yakin,“ ramadhan telah tiba dan InsyaAllah moga-moga aku akan kekal begini untuk KINI dan SELAMANYA…..”

Golongan separuh sedar

Mereka ini baru terjaga dari tidur dan masih lagi pisat-pisat mengosok mata. Dalam keadaan separuh sedar kadangkala mereka mengerti apa yang di katakan tetapi masih kabur apa yang perlu dilakukan. Mereka agak lambat dalam membezakan sama ada mimpi atau pun realiti. Mereka ini memerlukan pembimbing yang menunjuk jalan. Jangan dibiarkan mereka keseorangan dalam mencari halatuju. DAHULU mereka ini faham apa itu Islam tetapi masih kabur tentang perlaksanaan syariat Islam. Apa sebabnya, mana batasnya, apa dasarnya dan bermacam-macam persoalan yang masih lagi dikunci rapi didalam peti kejahilan. Mereka sudah berlapang hati dengan apa yang diamalkannya sekarang. Puasa Ramadhan lulus, Solat lulus, zakat lulus, Haji lulus kesemua rukun Islam lulus dengan cemerlang. Mereka lupa yang kesemua syarat sah ibadat itu adalah Islam. Syarat sah solat Islam, syarat sah puasa Islam, syarat sah zakat Islam dan syarat sah haji Islam. Dan apakah itu Islam? Islam secara ringkas adalah menyerah diri. Kehidupan berlandaskan penyerahan diri secara total kepada Allah yang satu. Lupakah anda pada ikrar yang dibaca didalam doa iftitah“……solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah sekalian alam”. Benarkah hidup anda hanya untuk Allah, kerana Allah atau pun keranamu ……….Buktinya cinta bukan pada kata-kata, buktinya cinta dizahirkan dengan anggota. Sejauh manakah kehidupan anda berada didalam konsep penyerahan diri kepada Allah? Adakah anda berkeluarga ikut cara Islam? Bermuamalat ikut cara Islam? Berpakaian ikut cara Islam? Berhibur ikut cara Islam? Memerintah ikut cara Islam? Dan dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besarnya adakah mengikut cara Islam? Gagalnya untuk membuktikan kehidupan anda selaras dengan Islam secara automatik syarat sah ibadat anda boleh dipertikaikan. Islam itu bukan sekadar puasa, bukan sekadar solat, bukan sekadar zakat dan bukan sekadar menunaikan haji. Islam bukan sekadar agama ibadat tetapi merupakan cara hidup. Ubahlah pandangan anda tentang Islam. Jangan pandang Islam itu seperti satu agama ibadat semata tetapi satu tuntutan cara hidup. KINI telah tiba masanya. Biar setiap ibadat yang dilakukan tidak menjadi sia-sia oleh kerana kesombongan kita untuk menghayati apa itu cara hidup Islam. Marilah bersama Islam kerana dunia sementara akhirat SELAMANYA.

Golongan sedar

Alhamdullilah, segala puji hanya bagi Allah. Tiada kekuatan dan daya upaya melainkan dengan pertolongan Allah. Mereka dapat melihat, mereka dapat mendengar, mereka di beri kefahaman dan mereka di beri kekuatan untuk melaksanakan. Kadangkala mereka menjadi pembimbing untuk orang lain. Tapi awas! Ada kalanya mata terbuka, badan diselatan tetapi minda di utara. Jika tidur dibuai mimpi maka jaga diulik angan-angan. DAHULU jika disebak mereka ini memang arif tentang hukum agama. Semuanya mesti dipastikan betul-betul selaras dengan sunnah. Mereka akan sedaya upaya merealisasikan sunnah dan syariat Islam itu diterap didalam kehidupan. Tipu helah syaitan itu amatlah halus. Sakit perut senak rasanya, sakit kepala berdenyut-denyut pula dan penyakit agama rasa selesa. Buangkan segala sifat-sifat mazmumah didalam diri. Angkuh, bakhil, takbur, khianat, hasad, ujub, buruk sangka jangan dibiar subur tanpa diracun. Jadikan malam-malam ramadhan sebagai malam muhasabah diri. KINI perubahan dalam mengubat penyakit hati. Mereka ini faham yang disini negara amal tiada hisab baginya dan disana negara hisap tiada amal padanya. Disini juga tiada guna amal tanpa dibuang penyakit hati padanya. Mereka percaya yang kehidupan di negara akhirat itu akan kekal abadi SELAMAnya.

Akhir kalam

Semoga Ramadhan tahun ini menjadi satu titik perubahan didalam buku kehidupan kita. Tutuplah buku kemaksiatan dan kelalaian yang telah lalu. Bakarkannya dengan api kepanasan Ramadhan. InsyaAllah Ramadhan tahun ini merupakan Ramadhan yang cemerkang dalam diri kita. Tiadalah perasaan gemilang bagi orang yang berpuasa melainkan ketika dia berbuka dan menyambut hari kemenangan 1 Syawal. Walaupun diri kita yang kerdil ini tidak menjadi sebutan manusia tetapi biarlah ia menjadi sebutan terbilang disisi Allah dan para malaikatnya. Jadikannya Ramadhan cemerlang, gemilang dan terbilang. Ramadhan Karim.

Wallahu’allam

APAKAH SUMBANGAN ANDA UNTUK ISLAM?


sumber www.al-ahkam.net

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails