Selasa, 4 Mac 2008

Jangan Leka




              Pada minggu lepas, sebelum kami memulakan discussion group di library, saya berjalan-jalan melihat perubahan yang dilakukan oleh perpustakaan UKM. Syabas buat kakitangan ptsl UKM kerana telah melakukan satu perkara yang lebih memudahkan pelajar mencari buku. Setiap rak telah dilekatkan pengkelasan buku berdasarkan skop yang lebih kecil. Ketika membelek-belek rak tersebut saya pun ternampaklah buku yang menarik perhatian saya untuk mengambil dan membeleknya. Buku yang lawa covernya dengan kulitnya yang keras, kaler pun menarik, dan tulisan pun boleh tahan itu diberi nama 'Cara Manusia Cergas Menang Dalam Hidup'. Buku ini sebenarnya adalah terjemahan dari buku Imam Ibnu Al-Jauziy yang bertajuk 'Shaidul Khatir'.

            Sebenarnya saya ni bukanlah ada masa sangat nak baca buku yang tebalnya mencecah hampir 600 muka surat itu. Tetapi oleh sebab isi kandungan buku itu dapat memberi perangsang kepada kerja harian saya, maka saya pun meminjamnya. Nampaknya ia adalah perkara yang berbaloi kerana saya telah menjumpai dan menyedari suatu perkara.

          Sebenarnya apa yang ingin saya sampaikan di sini adalah apa yang begitu menarik perhatian saya tentang apa yang banyak Imam Ibnu al-Jauziy nukilkan dan tekankan kepada pembaca. Marilah kita renung sedalam-dalamnya.....

I               a adalah berkenaan sikap orang yang terlalu berbaik sangka bahawa Allah Yang Maha Pemaaf pasti mengampuni mereka sedalam apa pun dosa dan maksiat yang dilakukan. Sedangkan orang-orang ini tahu bahawa itu merupakan pelanggaran terhadap hukum-hukumNya. Dosa yang mereka lakukan adalah kerana kelemahan mereka dari menahan gejolak nafsu.

Sentiasa berwaspada

Seseorang yang berani melakukan dosa-dosa hendaknya selalu waspada terhadap harapan yang berlebihan dan terus waspada terhadap siksa yang akan diterima akibat perbuatannya.



Allah Subhanahuwataala berfirman
maksudnya: “ Allah memperingatkan kamu akan (siksa) –Nya” (‘Ali-Imran (3):28)

Firman Allah Subhanahuwataala juga yang bermaksud: “Barangsiapa yang melakukan keburukan pasti akan dibalas” (an-Nisa’ (4):123)

          Ditekankan untuk kita lebih baik berwaspada daripada terlalu berharap. Wajib bagi orang yang berakal untuk selalu sedar akan akibat maksiat kerana api selalu ada di bawah arangnya. Sebuah siksaan mungkin sahaja ditunda kemudian datang dengan tiba-tiba. Ataupun didatangkan dengan segera. Kita harus bersegera memadamkan hal-hal yang membakar api dosa dan tak ada yang boleh membakar api dosa itu kecuali air mata penyesalan yang tulus. Agar yang demikian diperoleh ampunan sebelum kita dihakimi oleh Yang Maha Agung.

           Dosa-dosa hanya akan meninggalkan rasa pahit dari manisnya. Kita juga harus beringat bahawa Zat yang memberikan balasan sentiasa bersedia untuk membalasnya. Dia tidak pernah lupa dan alpa.

          Kita harus berhati-hati terhadap hawa nafsu tatkala ia berkobar-kobar. Carilah jalan untuk menaklukinya. Kita mungkin dapat terjerumus ke jurang yang dalam kerana hal-hal yang kecil. Ingatlah bahawa yang lalu tidak akan pernah kembali. Jauhilah sebab-sebab fitnah sebab mendekatinya sama dengan mendekati fitnah. Sangat jarang mereka yang mendekati fitnah akan dapat diselamatkan.

                  Mungkin nafsu kita akan berkata, “ Bukankah Dia Maha Pengampun? Engkau pasti akan diampuni.” Memang betul Allah itu Maha Pengampun tetapi pengampunan diberikan kepada siapa yang Dia kehendaki.

                Berhati-hatilah terhadap pusaran arus besar yang menenggelamkan itu dan janganlah tertipu dengan berhentinya arus itu. Hendaklah kita selalu berada di tepian dan teruslah membentengi diri dengan taqwa kerana siksa Allah sangatlah dasyat dan getir. Sedarilah bahawa dalam taqwa memang ada rasa kehilangan akan harta dan kekayaan serta pelbagai kelazatan namun taqwa adalah benteng yang selamat. Janganlah kita mencampuradukkan amal dengan keburukan kerana siapa tahu kematian datang dengan tiba-tiba.

Memperbaiki taubat
                     Janganlah sekali-kali kita tertipu jika kita berbuat maksiat bahawa kita merasa rahsia-rahsia maksiat kita terjaga. Allah Subhanahuwataala mungkin sahaja dapat menyingkap dosa-dosa kita sehingga kita “ditelanjangi”. Jangan merasa aman kerana mungkin Allah Subhanahuwataala boleh murka kepada sesiapa sahaja. Oleh itu wajiblah kita bersedih, berlindung kepada Nya dan menundukkan wajah di hadapanNya dengan penyesalan yang sedalam-dalamnya. Jika kita dapat berbuat demikian maka kita telah berhasil mendapatkan suatu hal yang bermanfaat. Bekalilah diri dengan rasa sedih dan hadirkanlah sentiasa di samping kita gelas-gelas air mata yang siap menampung derai air mata tangisan kita. Galilah rasa resah selalu sedalam-dalamnya agar hawa nafsu tidak menutupi hati. Semoga ia dapat memancar air yang boleh mencuci bersih segala dosa kotoran dari tubuh kita.


Bersedia menghadapi mati

                  Kita wajib bersiap sedia kerana kita tidak tahu bila kematian kita. Janganlah kita tertipu dengan masa muda dan kesihatan kita yang bagus. Salah satu perkara yang menyebabkan kita tertipu adalah panjangnya angan-angan. Ia adalah suatu penyakit yang berbahaya kerana akan menyebabkan kita terjebak dalam maksiat, melambatkan taubat dan dapat menjerumuskan seseorang di dalam kehendak syahwatnya. Penyakit tersebut dapat melalaikan kita dari bertaubat. Jika kita tidak dapat menghilangkan sikap tersebut paling tidak lakukanlah perkara orang yang mampu menghilangkan sikap tersebut.

Muhasabah diri

                  Janganlah kita tidur sebelum kita renungkan dalam-dalam apa yang kita lakukan pada setiap hari. Jika kita merasa jatuh dalam kesalahan, hapuslah kesalahan itu dengan taubat ataupun pada ketika waktu kita melakukan dosa bersegeralah beristighfar. Jika pagi menjelang renungkanlah apa yang telah kita lakukan di malam hari. Berhati-hatilah agar kita sama-sama tidak terkena penyakit “akan dan akan bertaubat” kerana itu merupakan ajakan iblis yang paling besar.

               Gambarkanlah dalam diri kita betapa pendeknya umur manusia, banyaknya kesibukan yang harus dikerjakan dan penyesalan yang dalam akibat segala kekurangan tatkala ajal menjelang dan penyesalan setelah semuanya berlalu. Bayangkanlah di mata dan hati kita pahala orang-orang yang sempurna sementara kita pula kekurangan. Lindungilah diri kita segera sebelum menjadi tak terlindungi. Jangan mudah masuk ke jerat nafsu. Tidak ada daya upaya kecuali dari Allah.

              Sentiasalah memperhatikan pengawasan Allah. Kelak, timbangan keadilanNya akan mengungkapkan hal-hal yang kecil sekalipun dan balasan pasti akan menimpa orang- orang yang berdosa meskipun dalam waktu yang mungkin agak lama. Janganlah berharap terlalu besar untuk memperoleh ampunanNya sebab demikian hanya akan menjadikan kita lalai selalainya. Ingatlah Allah dalam bersendiri, sebutlah namaNya selalu dalam batin dan perbaikilah niat kita kerana Allah selalu waspada dan mengawasi.

              Marilah kita memperbanyakkan amal agar ketika kita bakal berhadapan dengan Allah Subhanahuwataala kita datang dengan bekal. Marilah kita memohon kepada Allah agar dijauhkan dari perilaku orang-orang yang lalai. Semoga diperlihatkan segala sesuatu kepada kita sebagaimana adanya agar kita benar-benar tahu aibnya dosa. Segala peringatan ini saya tujukan bukanlah sekadar buat sahabat-sahabat tetapi juga untuk diri saya. Agar kita tahu bahawa setiap yang kita lakukan pasti ada balasannya. Maka bentengilah diri dengan taqwa. Hanya kepada Allah sahaja kita berserah dan hanya Dialah yang Maha Mengetahui.

* Rujukan: Cara Manusia Cerdas Menang dalam Hidup,Terjemahan karya:Imam Ibnu al-Jauziy, Shaidul Khathir oleh Samson Rahman:Penyelia, Nur Hizbullah. Jakarta:Maghfirah, 2005



.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails